Polis akan panggil Rosmah untuk kenal pasti barang rampasan


Looi Sue-Chern

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata, barang-barang rampasan yang disita itu perlu dikenal pasti Rosmah Mansor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2018.

SETELAH beberapa jam disiasat SPRM semalam, Rosmah Mansor akan menghabiskan masanya dengan polis pula dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim  berkata isteri bekas perdana menteri itu akan perlu mengenal pasti barang kemas dan barangan lain miliknya yang dirampas sebelum ini.

“Kami akan panggil beliau untu kenal pasti dan mengesahkan barangan ketika dia mempunyai waktu. Proses itu termasuklah menentukan jenis dan pembuat barangan tersebut.

Rashid bercakap kepada sidang pemberita selepas melancarkan Hari Inovasi Polis di Universiti Sains Malaysia hari ini, beliau tidak menjelaskan bila Rosmah akan dipanggil pihaknya.

Dalam beberapa serbuan setelah kekalahan Barisan Nasional dan Najib, polis telah merampas beberapa barangan berharga dan wang tunai di beberapa rumah yang mempunyai hubungan dengan Najib dan Rosmah sebagai sebahagian daripada siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bernilai lebih RM1 bilion.

Rashid menambah, 64 orang telah dipanggil bagi siasatan skandal 1MDB.

“Ini siasatan besar. Banyak aspek perlu disiasat.”

Rashid turut berkata polis tidak akan memanggil Ahli Parlimen Baling Azeez Abdul Rahim.

“Namun jika siasatan melihat keperluan memanggil beliau, kami akan panggil untuk siasatan. Namun setakat ini, tidak ada,” katanya lagi.

Ahli parlimen itu yang ketika ini ditahan reman turut merupakan bekas Pengerusi Tabung haji. Beliau ditahan reman bersama adik dan sepupunya.– 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen