TIDAK adil jika sekolah tahfiz dijadikan sasaran tindakan berhubung isu pendaftaran semata-mata kerana berlaku kes serangan seks terhadap kanak-kanak, kata pemimpin persatuan sekolah tahfiz.
Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (Pinta) Mohd Zahid Mahmood memberi alasan, isu serangan seksual ke atas institusi lain.
Beliau tidak berpuas hati dengan arahan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad untuk menutup pusat tahfiz Darul As-Syabab di Kepong serta merta atas alasan tidak berdaftar.
“Kenapa kalau yang (institusi) agama jadi strict (bertegas)? Kenapa yang lain tak nak tutup? Check (pantau) tadika (yang tak berdaftar). Bukan saja di tahfiz berlaku kes liwat tapi di tempat lain juga macam kem tentera dan tempat lain.
“Jangan cepat sangat buat keputusan. Sebab benda-benda macam ini buat institusi tahfiz nampak buruk. Kes ini mungkin satu dalam 1,000,” katanya.
Begitu juga jika alasan untuk menutup pusat tahfiz itu dibuat berdasarkan faktor fizikal bangunan yang tidak mendapat kelulusan, katanya.
“Kalau kita tengok banyak juga bangunan lain tak lulus, bukan bangunan tahfiz saja,” katanya lagi yang mahu kementerian berunding dan tidak menutup pusat itu sewenang-wenang.
Beliau mengulas arahan Khalid pada Selasa untuk menutup pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur itu kerana tidak mendapat kelulusan keselamatan.

Pusat tahfiz itu menjadi perhatian pihak berkuasa selepas pengetuanya didakwa di mahkamah dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Suspek didakwa mencabul dan meliwat sembilan pelajarnya sendiri yang berumur antara 11 hingga 16 tahun.
Mengulas kes tersebut, Mohd Zahid berpendapat, pihak berkuasa sepatutnya bertindak menyingkirkan pengetua tersebut atau menukar nama pusat tahfiz tetapi bukan menutupnya terus.
“Biar ada pihak kawal selia. Kalau sekolah bermasalah sebab pengetua, buang pengetua, tapi sekolah berjalan seperti biasa.
“Sebab kalau ditutup, ustaz-ustaz yang mengajar tu ada anak dan isteri untuk ditanggung. Dengan keadaan eknomi yang menentu ni agak susah.
“Sama juga dengan nasib pelajar, mereka akan hadapi kesukaran nak cari tempat yang mereka serasi (bila ditutup),” katanya.
Kejadian seperti ini di pusat tahfiz bukanlah kali pertama berlaku pada tahun ini. Pada Mac, seorang sukarelawan lelaki berusia 41 didakwa mendera secara seksual dan meliwat pelajar di sebuah maahad tahfiz di Kuantan, Pahang.
Pada Julai, seorang guru tahfiz ditahan selepas disyaki melakukan seks oral terhadap pelajar lelaki di sebuah sekolah tahfiz di Taman Keramat Permai, Hulu Kelang.
Pada Ogos 2016 pula, pemilik maahad tahfiz pendakwah terkenal Kazim Elias meraih kontroversi kerana isu pencabulan seksual melibatkan pelajar di sekolah tahfiznya.
Kementerian Wilayah Persekutuan semalam mengumumkan, semua pusat tahfiz Kuala Lumpur akan didaftarkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Kementerian itu turut menafikan laporan sesetengah media yang mendakwa pusat tahfiz yang tidak berdaftar di Kuala Lumpur akan segera ditutup.
Sebaliknya, kementerian tersebut memberikan tempoh sehingga 31 Disember tahun ini kepada semua pusat tahfiz untuk berdaftar dengan Jawi dan DBKL.
Proses daftar rumit
Mengulas lanjut, Mohd Zahid sesetengah pusat tahfiz tidak berdaftar kerana proses yang rumit dan kadang-kala memakan masa sehingga tiga tahun.
Jelasnya, ratusan ribu ringgit diperlukan bagi menanggung kos ubahsuai bangunan dan status premis bagi menepati ciri keselamatan ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan bomba dan TNB.

Jabatan agama Islam negeri juga menapis kurikulum dan tenaga pengajar untuk rekod bersih dan memastikan pelajar tidak disalahgunakan untuk meminta sedekah, katanya.
Selain itu, kebenaran persatuan penduduk juga diperlukan untuk kelulusan pendaftaran.
Oleh itu terdapat institusi tahfiz di negara ini yang pernah memohon untuk kelulusan pendaftaran berkali-kali, namun tidak berjaya dan akhirnya mereka berputus asa.
“Tapi keperluan (permintaan untuk sekolah tahfiz) itu ada. Macam orang nak berniaga kedai makan, keperluan untuk orang makan ada tapi penyediaan tempat kerajaan tak disediakan. Nak salahkan siapa?
“Kita kena ambil berat hal Islam. Jangan orang lain lihat Islam ni jahat dan Islam – liwat,” katanya yang meminta pihak berkuasa agar memudahkan proses pendaftaran.
Mohd Zahid mendakwa, kira-kira 800 sekolah tahfiz berdaftar di jabatan agama negeri masing-masing di seluruh negara dan sekitar 500 masih dalam proses pendaftaran.
Tambahnya, kes serangan seks seperti di pusat tahfiz As-Syabab itu mungkin dapat dielakkan sekiranya ia berdaftar di bawah Pinta kerana pihaknya dapat memantau dan menerima aduan.
Pada akhir tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri ketika itu Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk menaik taraf infrastruktur sekolah tahfiz.
Peruntukan itu diumumkan susulan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur kira-kira setahun lalu.
Komen