Kami jadi mangsa, kata staf kontrak Jasa yang dibuang kerja


Jason Santos

Skop kerja kakitangan Jasa diperluaskan apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dilantik sebagai ketua pengarah jabatan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2018.

KAKITANGAN kontrak dengan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dipecat membantah tindakan itu, mendakwa mereka bukan lantikan politik dan hanya mengikut arahan pegawai atasan.

Kami menjadi mangsa, kata mereka kepada The Malaysian Insight, menambah mereka hanya pekerja bergaji rendah yang tidak pernah terbabit dalam membuat dasar, tetapi hanya mengikut arahan.

Asrayani Sumasih, 38, menyalahkan pegawai atasannya yang menggunakan Jasa sebagai alat propaganda bagi mencapai sasaran sesetengah ahli politik daripada rejim Barisan Nasional (BN).

Katanya, hampir semua pegawai Jasa diambil bekerja selepas tamat pengajian kolej.

“Gaji permulaan kami sekitar RM1,600 dan kenaikan berdasarkan kepada tahun perkhidmatan.

“Kami terkejut apabila mendapat surat penamatan khidmat pada 15 September. Sesetengah daripada kami membuat rayuan supaya diserapkan ke jabatan lain, tetapi harapan nampaknya nipis,” katanya yang berasal dari Sabah.

Asrayani bertugas di Jasa selama 11 tahun dan melihat ramai rakan setugasnya menyertai politik untuk mencapai matlamat peribadi masing-masing.

Ibu kepada dua anak itu kini bimbang dengan masa depannya kerana akan menganggur bermula 15 Oktober. Pada masa ini, beliau merancang untuk menjadi pemandu Grab sehingga mendapat pekerjaan tetap.

Pada asalnya, kontrak kerja kakitangan Jasa ialah untuk memantau setiap ucapan politik dan agama, dan setiap reaksi serta sentimen.

“Semua ucapan dan komen ditranskripsikan, sehingga ke perkataan terakhir. Ia kemudian difailkan dan dihantar ke Putrajaya.

“Tidak ada sesiapa pun dalam agensi ini tahu tujuan data seumpama itu dikumpulkan tetapi kemudian kami tahu ia untuk kegunaan ahli politik dan mereka di Putrajaya,” katanya.

Kakitangan kontrak Jabatan Hal Ehwal Khas diberikan surat pemberhentian kerja pada 15 September lalu. – Gambar Facebook, 28 September, 2018.

Katanya, skop kerja mereka diperluaskan apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dilantik sebagai ketua pengarah dan Tun Faisal Ismail Aziz sebagai pengarah komunikasi strategik.

“Kami bukan saja diarahkan mencatat ucapan dan apa yang orang ramai cakap tentang kerajaan, tetapi perlu juga melonjakkan populariti sesetengah ahli politik.

“Ini dilakukan oleh ketua pengarah Jasa sendiri, yang mahu menjadi calon Umno Batu Pahat pada PRU14.

“Lebih 1,200 kakitangan Jasa di seluruh negara diarahkan untuk ‘like, share dan comment’ di status Facebook dan media sosial Puad.

“Mereka juga diarahkan membalas komen buruk terhadapnya,” katanya.

Mereka juga diarahkan membuat tangkapan skrin kerja itu dan memfailkannya bersama laporan.

Mereka yang enggan berbuat demikian akan disingkirkan kerana tidak mencapai Penunjuk Prestasi Utama.

Difahamkan bahawa seorang pegawai dari Sabah dibuang kerja kerana enggan mengikut arahan itu, sebaliknya membuat laporan berkenaan pandangan rakyat Sabah tidak akan memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya di Batu Pahat, Johor.

Puad meletak jawatan sebagai ketua pengarah Jasa sejurus sebelum PRU14 untuk diletakkan sebagai calon di kerusi Batu Pahat.

Pada asalnya, kontrak kerja kakitangan Jasa ialah untuk memantau setiap ucapan politik dan agama, dan setiap reaksi serta sentimen, dan laporan kemudian dihantar ke Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2018.

Ketika kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, mereka mengumumkan 17,000 lantikan politik akan diberhentikan, dan ini termasuk 800 kakitangan kontrak di Jasa.

Kakitangan Jasa menyalahkan Puad dan pegawainya atas nasib yang menimpa mereka sekarang. Jasa dilihat menjadi alat propaganda pentadbiran BN. Pemimpin PH dan masyarakat mengecam jabatan itu.

Mawan Ghapur, 28, yang baru saja mendapat kelulusan pinjaman perumahan 30 tahun berkata beliau kini berdepan masalah sukar membuat bayaran bulanan.

“Saya ada seorang anak dan isteri bekerja sebagai kerani. Isteri tidak akan mampu membayar semua bil jika saya tidak bekerja,” kata kakitangan Jasa dari Sabah itu.

“Sekarang saya kerja memandu Grab dan rasanya terpaksa buat kerja ini secara sepenuh masa bermula bulan depan,” katanya.

Mawan berkata 80% kakitangan Jasa berdepan kesukaran dalam tempoh tiga bulan jika rayuan mereka untuk dipindahkan ke jabatan lain, tidak dilayan.

“Kebanyakan kami ada pinjaman rumah, kereta dan peribadi untuk dibayar setiap bulan.

“Sudah empat tahun saya di Jasa. Saya tidak pasti bagaimana keluarga saya akan bertahan selepas ini,” katanya.

Seorang lagi kakitangan Jasa, Zizi Hanifah, 35, berkata beliau menangguhkan perkahwinannya tahun ini.

“Sama seperti rakan sekerja yang lain, kami semua ada komitmen kewangan.

“Baru-baru ini saya ambil pinjaman perumahan dan terpaksa memperuntukkan sejumlah besar daripada gaji setiap bulan untuk membayarnya,” katanya yang sudah enam tahun berkhidmat di Jasa. – 28 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen