Jumlah berkurangan tapi sektor perkilangan Pulau Pinang berkembang


Looi Sue-Chern

Pulau Pinang kekal sebagai pemain utama dalam pasaran semikonduktor dunia, yang diramalkan mengalami pertumbuhan 11% tahun ini kepada AS$41.1 bilion (RM176.03 bilion). – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2017.

SEKTOR perkhidmatan di Pulau Pinang mungkin bukan lagi penyumbang utama ekonomi negeri, tetapi agensi promosi pelaburan investPenang berkata segmen perkilangan masih lagi enjin pertumbuhan negeri.

Pengarah agensi itu Lee Kah Choon berkata perkilangan masih memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri itu dan kaji selidik terbaru investPenang menunjukkan sektor itu “sihat dan stabil”, dengan kebanyakan syarikat merekodkan pertumbuhan pendapatan dua angka pada suku pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata Pulau Pinang juga kekal sebagai pemain utama dalam pasaran semikonduktor dunia, yang diramalkan mengalami pertumbuhan 11% tahun ini kepada AS$41.1 bilion (RM176.03 bilion).

Katanya, pertumbuhan itu diramalkan Semiconductor Equipment and Materials International, akan memberi manfaat kepada pengilang Pulau Pinang yang mengeksport produk semikonduktor pada jumlah besar.

“Kami pegang 8% daripada keseluruhan 10% sumbangan Malaysia untuk penghasilan semikonduktor di seluruh dunia, sebagai lokasi utama memasang mikroelektronik, membungkus dan menguji.

“Kira-kira 40% daripada pemasang mikropemproses dunia dari Pulau Pinang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) meramalkan pertumbuhan terbesar dijangka daripada sensor, analog dan produk memori.

Eksport barangan elektronik dan elektrik (E&E) Malaysia meningkat 3.5% kepada RM287.72 bilion tahun lalu, berbanding 2015. Pada suku pertama tahun ini, produk (E&E) memberi sumbangan terbesar atau 35% bagi semua eksport.

Angka menurun dan pelabur keluar

Sektor perkilangan Pulau Pinang berkembang sejak 1970-an. Menjelang penghujung abad ke-20, ia menjadi pemacu utama ekonomi negeri, menjadikan Pulau Pinang digelar “Lembah Silikon Timur”.

Sehingga 2008, ia menyumbang kepada lebih separuh pendapatan pengeluaran kasar produk (GDP), mencecah 56.3% pada 2006.

Tetapi GDP sektor itu jatuh ke 48.7% pada 2009, dan kemudian berkurangan setiap tahun kecuali pada 2014 dan 2015, di mana peratusan meningkat kepada masing-masing 44.1% dan 44.7%.

Sektor perkhidmatan juga merekodkan sumbangan lebih tinggi pada 2014 dan 2015 dengan masing-masing 49.5% dan 49.1%.

Dalam beberapa tahun terakhir, pelaburan asing dan domestik di Pulau Pinang juga jatuh daripada RM8.16 bilion (2014) kepada RM6.72 bilion (2015); dan berkurangan lagi kepada RM4.29 bilion (2016).

Beberapa nama besar seperti pembuat cakera keras Seagate dan Western Digital,  pengeluar peralatan komunikasi Amphenol, dan pembuat substrat LED Rubicon juga keluar dari Pulau Pinang.

Tetapi penganalisis Penang Institute Ong Wooi Leng berkata sektor perkilangan Pulau Pinang bertahan, memetik bagaimana ia menguncup 19.4% pada 2009 kerana krisis kewangan Amerika Syarikat tetapi dengan cepat pulih dalam tempoh lima tahun lalu.

“Pulau Pinang mempunyai pangkalan perkilangan kuat dengan syarikat E&E multinasional terkemuka sejak 1970-an dan menjadi faktor penarik untuk pekerja mencari peluang pekerjaan kejuruteraan,” katanya.

Ong berkata syarikat multinasional keluar kerana perubahan permintaan pasaran dunia, syarikat diorientasikan semula, dan peningkatan kos operasi.

Masih berkembang

Lee berkata Pulau Pinang berpengalaman 45 tahun dalam perkilangan, dan konsistensinya serta kemapanan yang ditunjukkan menyebabkan pelabur yakin untuk membuka perniagaan di negeri itu.

Katanya, Pulau Pinang merekodkan RM59 bilion dari 2008 hingga 2016 dalam pelaburan perkilangan, 73% lebih daripada pelaburan antara 1999 hingga 2007; dan 67% pelaburan asing.

“Kami bukan dalam tahun yang perlahan terutama dengan GDP baik dan petanda ekonomi positif.

“Petanda paling ketara ialah nama besar bersama kami di sini seperti Intel, Bose, Agilent, Motorola, Altera, B.Braun,” katanya, menambah terdapat kira-kira 300 syarikat multinasional beroperasi di Pulau Pinang.

Pulau Pinang juga baru-baru ini menarik pelaburan baharu dan pelaburan semula. Antaranya ialah Broadcom’s Avago Technologies (RM1.07 bilion), Aemulus Holdings (RM25 juta), syarikat Taiwan Hotayi Electronics (RM1 bilion), Scandinavian Industrialised Building System (RM100 juta), dan syarikat pembangunan IT dan perisian Luxoft (RM235 juta).

Osram juga meluaskan ibu pejabatnya Solid State Lighting bersama pusat penyelidikan dan pembangunan. Intel juga melancarkan kumpulan jualan online Asia Pacific & Jepun awal tahun ini.

Syarikat tempatan ViTrox Corporation, Pentamaster Technology dan Walta Engineering membina hab rangkaian bekalan setempat bernilai RM63 juta untuk alat ganti Penang Automation Cluster (PAC), sementara lima pembuat barang kemas melabur hampir RM50 juta Kluster Industri Emas dan Perhiasan Pulau Pinang, menjadikan negeri itu sebagai pengeksport terbesar Malaysia bagi emas dan barangan kemas.

Sektor perkhidmatan mendapat faedah daripada perkilangan

Sektor perkilangan turut mengembangkan sektor perkhidmatan yang mempunyai banyak perniagaan yang menyokong pengilang.

Perniagaan logistik pengeluar perkhidmatan, kian berkembang disebabkan inisiatif One belt, One Road yang akan menjadikan Malaysia hab logistik untuk China dan Asia Pasifik.

Malah perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang berkualiti, dan pendidikan berkembang di Pulau Pinang disebabkan keperluan dan kehendak pelabur, kata Lee.

Bersiap-sedia untuk masa depan

Kata Ong, Pulau Pinang dan Malaysia perlu merapatkan jurang kemahiran dengan program-program latihan yang relevan kerana sektor perkilangan sudah beralih kepada Industri 4.0, di mana “Internet of Things (IoT)”, peranti yang sesuai diguna, kecerdasan buatan dan automasi bakal menjadi permintaan tinggi.

Lee berkata, Pulau Pinang akan menumpu kepada R&D dan pendapatan tinggi, aktiviti berasaskan pengetahuan dan perniagaan bernilai tinggi, yang mana akan memberi kesan yang sangat banyak kepada penduduk tempatan.

Katanya, kerajaan negeri dengan program @CAT nya, menyasarkan untuk mengembangkan usahawan tekno yang kreatif dan berinovatif, dan usahawan baharu serta memupuk bakat baru dalam pengkomputeran awan, Analisa “Big Data” dan IoT.

“Kami akan kekalkan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar antarabangsa yang ideal yang mampan untuk kehidupan dan pekerjaan,” katanya. – 7 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen