Selepas tumbang, Umno huyung-hayang mencari jalan


Chan Kok Leong

Persiapan sedang dilakukan di Pusat Dagangan Dunia Putra, di Kuala Lumpur sebelum Perhimpunan Agung Umno 2018 berlangsung hujung minggu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 September, 2018.

SEJARAH Umno tersimpul rapi dengan sejarah Malaysia, dan sejarah itu terakam jelas di laluan masuk ke Dewan Merdeka di menara ibu pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), di Kuala Lumpur.

Di sebelah kanan laluan itu ada mural panjang yang melukiskan setiap mercu tanda dan titik penting dalam sejarah negara. Di sebelah kirinya pula, tergantung megah potret semua presidennya. Kecuali Onn Jaafar, semua potret itu tercatat gelar “perdana menteri”.

Tetapi potret presidennya sekarang Ahmad Zahid Hamidi tiada, mungkin tidak sempat untuk dilukis. Tetapi potret yang tiada itu menggambarkan sedikit sebanyak apa yang dilalui oleh Umno sekarang.

Bukan saja potretnya tidak kelihatan, Zahid sendiri pun hilang dari radar sejak menang pemilihan presiden parti pada 30 Jun, beberapa minggu selepas Umno kalah dalam pilihan raya umum buat pertama kali dalam sejarah.

Walaupun yang nampak bersuara bagi pihak parti ialah setiausaha agung Annuar Musa atau bekas presidennya, Najib Razak, banyak yang diharapkan daripada Zahid apabila Umno mengadakan perhimpunan tahunannya hujung minggu ini.

Sebelum ini, perhatian pada Zahid ialah apabila beliau muncul sepentas dengan PAS yang selama ini jadi musuh tradisi parti atau berjumpa dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas presiden Umno.

Hasrat Zahid mahu membawa Umno kembali ke Putrajaya sebelum PRU akan datang.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi didakwa tidak menonjol sejak menang pemilihan parti Jun lalu, beberapa minggu selepas Umno kalah PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2018.

Tetapi setakat ini tiada tanda-tanda itu akan berlaku. Apatah lagi, langkah berbaik dengan PAS mencetuskan keresahan dalam kalangan akar umbi Umno.

Kehadiran Zahid pada Muktamar PAS ke-64 di Terengganu menyebabkan pemimpin kanan parti, Mustapa Mohamed keluar Umno. Sekarang ini, lima ahli Parlimen dan 13 wakil rakyat negeri sudah meninggalkan Umno sejak parti itu tersingkir dari Putrajaya.

Dalam satu wawancara awal minggu ini, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Umno tidak lagi boleh berjuang hanya untuk satu kaum. Kenyataannya itu dilihat bercanggah dengan langkah Zahid mahu memeluk sokongan Melayu Islam apabila berbaik dengan PAS.

“Zahid nampak begitu berhati-hati dengan langkahnya kerana nampak senyap.

“Berita beliau bertemu dengan Dr Mahathir dan pemimpin PAS menyebabkan ahli parti tertanya-tanya hala tuju Umno,” kata pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.

Nampaknya, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa yang lebih banyak bersuara bagi pihak parti berbanding presiden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2018.

Sikap Zahid yang diam merunsingkan banyak ahli kerana beliau dibayangi oleh Najib yang hampir setiap hari membuat kenyataan melalui Facebook.

“Kenyataan Najib yang begitu kerap itu seolah-olah membayangi Zahid, menunjukkan beliau nampak lemah,” kata Tunku Mohar.

Zahid mungkin sedar, dan barangkali itu sebabnya kenapa gambar Najib tidak begitu kelihatan menjelang persiapan di PWTC minggu ini.

Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan sebaliknya optimis Zahid akan menunjukkan jalan apabila beliau menyampaikan ucapan dasarnya Sabtu ini.

“Saya jangka ucapan yang luar biasa yang menggariskan masa depan parti dengan hujah yang memikat dan meyakinkan, biar ke mana pun hala tujunya.

“Saya yakin beliau mampu. Saya fikir ahli juga menunggu untuk melihatnya kerana mereka juga ada pandangan mereka,” katanya.

Tetapi bagi exco Umno Bahagian Batu, Norhisham Abdul Mutalib, Zahid perlu lebih daripada ucapan yang berapi untuk meyakinkan perwakilan.

“Semangat sekarang ini kendur. Luka belum sembuh. Beliau perlukan lebih daripada ucapan untuk menunjukkan jalan,” kata Norhisham.

Itu juga pandangan Dr Azwang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

“Semangat Umno sangat rendah kerana parti itu masih terkejut dan tidak ada hala tuju,” kata Awang Azman.

“Perhimpunan ini mesti menunjukkan jalan bagaimana Umno boleh bangkit semula bersendirian dan memerangi persepsi bahawa pemimpinnya rasuah.”

Hala tuju

Walaupun ucapan Zahid dijangka akan menunjukkan jalan, para perwakilan juga akan menyampaikan pandangan mereka pada perhimpunan.

“Saya rasa ucapan mereka akan banyak menyentuh tentang hala tuju yang tidak jelas. Saya kira perbahasan akan bertumpu pada persoalan pokok sama ada kita maju jadi pembangkang yang berkesan atau membuat runding jalan belakang untuk jadi kerajaan,” kata Shahril.

Di PWTC, para peniaga sibuk menyiapkan gerai menjelang pembukaan perhimpunan agung yang akan bermula esok dengan persidangan tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 September, 2018.

Tunku Mohar percaya perwakilan akan menggunakan pentas ini untuk menyalahkan sesetengah pemimpin Umno atas kekalahan dalam PRU14.

“Saya jangka akan ada seruan supaya parti lebih bermuhasabah dan terus memperjuangkan hak Melayu, yang sekarang kononnya terancam.

“Mengenai PAS, walaupun belum ada sebarang konsensus, tindak tanduk pimpinan menunjukkan parti itu mahu kerjasama lebih erat dengan parti Islam itu,” katanya.

Di PWTC, para peniaga sibuk menyiapkan gerai menjelang pembukaan perhimpunan agung yang akan bermula esok dengan persidangan tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Sebelum ini, sejak awal minggu lagi mereka sudah berniaga tetapi pada kali ini perhimpunan dipendekkan hanya dua hari kerana langkah berjimat.

Entah kebetulan, perhimpunan tahun ini mengangkat tema “Umno – Sebuah Perjuangan”, yang betul-betul mencerminkan nasib parti itu sekarang, selepas tidak lagi jadi kerajaan.

Bagi 5,739 perwakilan yang akan menghadiri perhimpunan tahun ini, perjuangan itu bermula esok. – 27 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen