'Saya okay', kata Rosmah selepas disoal siasat SPRM


Kamles Kumar

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor keluar daripada ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas 13 jam disoal siasat hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 September, 2018

SELEPAS 13 jam disoal sasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosmah Mansor berkata beliau dilayan dengan baik dan merasa baik-baik saja. 

Isteri bekas perdana menteri Naji Razak itu bagaimanapun enggan mengulas berhubung soal siasat namun menyatakan dirinya okay. 

“Saya okay, alhamdulillah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya malam ini. 

Rosmah enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada peguamnya, K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent. 

Kumaraendran juga tidak mengulas kanjut berhubung siasatan itu dan hanya menyatakan Rosmah sudahpun selesai memberi keterangan. 

“Rosmah sudah selesai memberi keterangannya kepada SPRM. Itu sahaja yang boleh saya katakan,” katanya yang menolak soalan lain daripada media.

Sesi Rosmah dengan SPRM hari ini lebih lama berbanding suaminya.

Najib Razak sebelum ini disoal siasat agensi anti rasuah itu selama tujuh jam.

Rosmah tiba di ibu pejabat SPRM itu pada jam 9.50 pagi dan ditemani peguam Kumaraendran.

Ini merupakan kali kedua beliau dipanggil untuk disoal siasat.

Pada 5 Jun, beliau disoal siasat oleh SPRM selama lima jam berhubung dana SRC International yang disalurkan ke akaun peribadi Najib. Hanya Najib yang didakwa berhubung siasatan SRC International yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad.

Pada Isnin, SPRM berkata pihaknya telah melengkapkan siasatan ke atas Rosmah dan menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut ke atasnya. – 26 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen