MENTERI Sumber Manusia M Kulasegaran mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Bangladesh untuk menyelesaikan masalah pekerja warga negara itu yang tiada dokumen serta pekerja yang tinggal melebihi tempoh.
“Semalam, saya mengadakan pertemuan dengan Nurul Islam, menteri kebajikan ekspatriat dan pekerjaan luar negara Bangladesh, dan kami mengadakan perbincangan mengenai pelbagai topik melibatkan buruh,” kata Kulasegaran dalam satu kenyataan.
Antara perkara yang dibangkitkan oleh delegasi Bangladesh adalah berhubung buruh antara dua negara, warganegara Bangladesh yang mahu mendapatkan pekerjaan sah atau tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia serta bidang pembangunan bersama.
Kulasegaran berkata kementeriannya sedang mengkaji untuk mewujudkan satu sistem aplikasi kepada pekerja asing, untuk membanteras masalah peningkatan bayaran pengambilan dan amalan pengambilan yang tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, kerajaan juga merancang untuk mengambil alih pengurusan skim insurans kepada pekerja asing.
Kulasegaran turut meminta kerajaan Bangladesh mengkaji semula proses penghantaran pulang berkaitan pendatang haram warga Bangladesh di Malaysia, namun akan mengalu-alukan pekerja warga Bangladesh yang memiliki dokumen sah di masa akan datang.
“Sudah pasti kami mahu bekerjasama dengan kerajaan Bangladesh bagi mewujudkan sistem yang efisien, telus dan produktif bagi membolehkan rakyat mereka bekerja di sini,” kata Kulasegaran.
Lawatan delegasi dari Bangladesh itu adalah berikutan laporan gangguan yang didakwa dialami oleh kebanyakan daripada pekerja mereka di negara ini.
“Kementerian sedia maklum dengan gangguan terhadap pekerja Bangladesh di Malaysia. Sekiranya menteri mereka (Malaysia) tidak dapat datang ke Bangladesh, saya akan melawat negara itu tidak lama lagi untuk bertemu menteri bagi membincangkan isu itu,” Nurul dipetik sebagai berkata oleh akhbar Bangladesh The Daily Star.
“Kerajaan akan mengambil langkah bagi memastikan pekerja Bangladesh boleh bergerak bebas dan bekerja tanpa gangguan di Malaysia.”
Malaysia kini mempunyai hampir dua juta pekerja Bangladesh. Jumlah pekerja haram di Malaysia dipercayi semakin bertambah kepada lebih satu juta sejak beberapa tahun lalu.
Di bawah undang-undang imigresen, pendatang haram boleh ditahan, dipenjara dan didenda.
Nurul Islam berkata Kedutaan Besar Bangladesh di Kuala Lumpur kini bekerjasama dengan Putrajaya untuk sahkan pekerja tanpa dokumen, yang kebanyakannya merupakan mangsa sindiket pemerdagangan orang. – 26 September, 2018
Komen