Rosmah tak ditahan, kata SPRM


Alfian Z.M. Tahir Kamles Kumar

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor ketika tiba di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9.50 pagi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 September, 2018.

ROSMAH Mansor tidak ditahan dan masih lagi memberi keterangan setakat jam 7.50 malam ini, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber mengesahkan perkara itu memandangkan Rosmah masih belum lagi keluar dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya, sejak 10 jam lalu.

Isteri Najib Razak berusia 66 tahun itu tiba pada 9.50 pagi dengan berpakaian serba hijau dan ditemani peguamnya, K. Kumaraendran.

Peguam itu meninggalkan pejabat SPRM pada 4.15 petang untuk berehat dan kembali semula ke pejabat agensi tersebut di Putrajaya.

Ini kali kedua beliau dipanggil ke SPRM. 5 Jun lalu, beliau disoal siasat selama lima jam di SPRM berkaitan dana SRC International yang dipindahkan ke akaun Najib. 

Bagaimanapun, Najib sahaja yang didakwa berkaitan siasatan terhadap anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Isnin lalu, SPRM mengatakan pihak mereka telah menyempurnakan siasata ke atas Rosmah dan menyerahkan laporan itu kepada Pejabat Peguam Negara bagi memutuskan sama ada dakwaan akan dijalankan.

Kehadiran Rosmah hari ini tidak ditemani ahli keluarga dan penyokongnya.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan bekas pengasas Bersatu Anina Saadudin dilihat hadir bagi menyokong Rosmah.

Beliau turut disaman sebagai RM600 juta ekoran sejumlah 44 alat perhiasan oleh Global Royalty Trading SAL, yang dimiliki usahawan barangan kemas Samer Halimeh.

Barangan kemas itu kemudian disita polis di beberapa premis yang mempunyai hubungan dengan Najib pada bulan Mei dan merupakan sebahagian daripada barang rampasan berjumlah lebih RM1 bilion.– 26 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen