MAHKAMAH Majistret membenarkan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim serta dua saudaranya ditahan reman empat hari untuk siasatan bagi siasatan kes rasuah.
Majistret Shah Wira Abd Halim membenarkan Azeez, abangnya Abdul Latif dan seorang sepupu Mohamed Nazri ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan.
Menurut peguam Devandan S Subramaniam, kes tersebut hanya dinyatakan secara umum semasa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memohon reman.
“Ia berkaitan beberapa kontrak yang diberikan Tabung Haji. Jumlahnya tidak dinyatakan. Ia sangat umum,” kata Devandan kepada pemberita.
Pasukan peguam Azeez semasa bantahan menyebut, reman tidak diperlukan namun ditolak oleh majistret.
“Kami beritahu, tidak perlu mereka direman. Azeez memberitahu mahkamah, sekiranya perlu, beliau akan hadir pada jam 9 pagi di ibu pejabat SPRM untuk merekod keterangannya,” katanya.
Ketiga-tiga suspek berkenaan ditahan di lokap SPRM selepas ditahan semasa disiasat agensi tersebut semalam.
Pada Mei lepas, SPRM menggeledah rumah Azeez di Subang Jaya, Baling dan juga pejabatnya di Jalan Tun Razak.
Pihak berkuasa merampas wang tunai RM500,000 dan wang asing dengan nilai tukaran hampir RM1.2 juta.
Azeez mendakwa wang tersebut untuk membiayai misi ke Gaza, Palestin dan untuk bantuan Ramadan bagi Umno bahagian Baling.
Azeez yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno dilantik ke Lembaga Tabung Haji pada 2011 dan kemudiannya menjadi pengerusi pada 2013.– 26 September, 2018.
Komen