Rosmah tiba untuk soal siasat SPRM


Kamles Kumar

Rosmah Mansor berpakaian serba hijau tiba Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 9.50 pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 September, 2018.

ROSMAH Mansor, 66, tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan. 
 
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu tiba pada jam 9.50 pagi berpakaian serba hijau ditemani peguamnya, K Kumaraendran. 
 
Ini adalah kali kedua beliau disoal siasat. Pada 5 Jun, beliau disoal siasat oleh SPRM selama lima jam berkaitan dana SRC International yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib. Tetapi, hanya Najib didakwa berkaitan SRC, yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 
 
Isnin lalu, SPRM berkata ia sudah menyiapkan siasatan kepada Rosmah dan menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan sewajarnya.

Tiada ahli keluarga atau penyokong yang dilihat menemani Rosmah pagi ini.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan bekas ahli Bersatu  Anina Saddudin kemudian muncul sebagai tanda sokongan kepada Rosmah.

Selain disiasat SPRM, Rosmah juga disaman RM60 juta oleh Global Royalty Trading SAL kerana gagal memulangkan 44 barang kemas milik syarikat itu.

Barang kemas tersebut dirampas ketika serbuan di premis yang dikaitkan dengan Najib pada Mei. – 26 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen