Respons terhadap buku 1MDB ‘sangat melegakan’, kata Ambiga


Christopher Rabin

Orang ramai beratur panjang berjam lamanya pada acara menandatangani buku The Billion Dollar Whale bersama pengarang bersama, Tom Wright daripada Wall Street Journal di KLCC hari ini. Buku itu habis dijual. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 September, 2018.

BUKU The Billion Dollar Whale sesuatu yang sekian lama dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia untuk mendapatkan lebih penjelasan tentang skandal kewangan terburuk yang menggegarkan negara.

Peguam Ambiga Sreenevasan menggambarkan respons terhadap buku itu “benar-benar melegakan” dan berharap ia terus begitu.

“Rakyat mahu pemahaman lebih baik tentang skandal kewangan terhebat itu.

“Ia sesuatu yang baik bila kita (rakyat) merasakan keperluan untuk memahami apa yang berlaku dalam 1MDB,” katanya.

Buku yang diterbitkan minggu lalu, habis dijual dengan pelanggan beratur panjang berjam lamanya pada acara menandatangani buku bersama pengarang bersama, Tom Wright daripada Wall Street Journal di KLCC hari ini.

Bercakap kepada The Malaysian Insight ketika ditemui pada acara itu, Ambiga berkata skala skandal itu tidak boleh diabaikan.

“Rakat mahu tahu apa sebenarnya punca yang meletakkan Malaysia popular di seluruh dunia atas alasan yang salah,” katanya.

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata isi kandungan buku itu lebih bermakna kepada rakyat Malaysia, berbanding orang lain.

“Perasaan yang sama dibawa oleh rakyat ketika hari mengundi dapat dilihat hari ini. Skandal ini sesuatu yang berlaku kepada kita (rakyat Malaysia).

“Untuk melihat ia digarap dengan begitu baik oleh pengarangnya, saya fikir ia sesuatu yang patut dipuji,” katanya.

Pengarang buku itu ialah wartawan Wall Street Journal dan finalis anugerah Pulitzer iaitu Writght dan Bradley Hope, yang menggambarkan Low Taek Jho sebagai dalang skim penipuan syarikat pelaburan negara, 1MDB. – 25 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen