Billion Dollar Whale penuh dengan pengajaran, kata Rafidah Aziz


Bede Hong Christopher Rabin

Rafidah Aziz berkata buku "Billion Dollar Whale" mengandungi banyak pengajaran buat generasi akan datang mengenai tadbir urus yang betul. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 September, 2018.

BUKU “Billion Dollar Whale” yang berkisar tentang skandal penyelewengan AS$4.5 bilion dana pelaburan negara, 1MDB mengandungi banyak pengajaran buat generasi akan datang mengenai tadbir urus yang betul, kata bekas menteri perdagangan dan antarabangsa, Rafidah Aziz.

Bekas pemimpin Umno itu bercakap mengenai pemimpin-pemimpin terdahulu yang hanya bermatlamat untuk mengejar pangkat dan berkata kerajaan baharu perlu mengambil perhatian terhadap kandungan buku tersebut.

“Setiap helaian ada pengajaran. Saga ini, yang ada sub-plotnya, mengajar kita, bukan hanya kepada Malaysia tetapi kepada dunia secara umumnya bahwa sifat tamak dan kezaliman tidak boleh dibenarkan,” beliau berkata kepada tetamu pada pelancaran buku itu bersama salah seorang penulisnya, Tom Wright di Kuala Lumpur hari ini.

“Pengajaran lain ialah mengenai kepercayaan rakyat. Anda harus pegang teguh kepercayaan rakyat pada anda.

“Ada pemimpin yang hanya hendak kejar pangkat tetapi langsung tidak tunjukkan kualiti kepimpinan yang rakyat inginkan.

“Anda mesti mentadbir dengan baik, tak boleh benarkan ia hilang arah.”

Rafidah Aziz Rafidah juga berharap skandal 1MDB dapat difilemkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2018.

Rafidah menambah, pegawai kerajaan perlu menghayati buku tersebut hingga ke inti patinya: “Ada yang berfikir jadi pemimpin bila duduk di atas.”

“Salah. Ini tentang sikap anda dan tanggungjawab membuat keputusan. Itulah dia dan ini benda yang paling sukar untuk dijumpai dalam dunia hari ini.”

Rafidah bercakap mengenai pengalaman dua dekadnya berada dalam Kabinet, dan berkata beliau bekerja keras untuk membuatkan pelabur tahu “sisi positif” Malaysia.

“Saya promosikan lokasi sebagai hab untuk jalankan perniagaan di rantau ini. Hanya dengan skandal ini, semua imej itu terpadam begitu saja.

“Bila saya baca bebrapa bahagian (buku), saya dapati kenyataannya begitu menakutkan.”

Rafidah juga berharap skandal 1MDB dapat difilemkan.

“Ceritanya belum habis lagi. Kita masih menanti pengakhiran cerita ini apabila keadilan terlaksana. 

Sementara itu, Wright berkata beliau dan penulis bersama, Bradley Hope terpaksa mengubah suai penghujung cerita buku tersebut dengan menyatakan Najib Razak akan terus kekal berkuasa.

Watak utama buku, Low Taek Jho masih bebas di China.  – 25 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen