Tahfiz terbabit kes cabul ditutup, ibu bapa bawa pulang anak


Yasmin Ramlan

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini mengarahkan Pusat Tahfiz Darul As-Syabab ditutup kerana tidak mendapat kelulusan keselamatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 September, 2018.

IBU bapa pelajar Pusat Tahfiz Darul As-Syabab membawa pulang anak masing-masing ke rumah selepas sekolah Quran itu ditutup serta merta oleh pihak berkuasa hari ini.

Tinjauan The Malaysian Insight ke pusat tahfiz itu petang tadi mendapati unit rumah kedai yang dijadikan kelas itu berkunci, sementara asrama pelajar yang terletak di Pangsapuri Mutiara Magna sudah dikosongkan.

Awal hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengarahkan pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur itu ditutup kerana tidak mendapat kelulusan keselamatan.

Pusat tahfiz itu jadi perhatian pihak berkuasa selepas pengetuanya didakwa di mahkamah dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau didakwa mencabul dan meliwat sembilan pelajarnya sendiri yang berumur antara 11 hingga 16 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa yang melawat pusat tahfiz itu semalam mengesahkan ia belum berdaftar dengan pihak berkuasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 September, 2018.

“Kami tidak mahu pusat-pusat tahfiz ini diberi kelonggaran hanya kerana ia institusi keagamaan,” katanya, sambil menegaskan semua pusat tahfiz di Kuala Lumpur mesti berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Kami juga akan mengetatkan syarat kepada sekolah-sekolah berasrama, khususnya sekolah tahfiz bagi menjaga kualiti daripada aspek keselesaan dan keselamatan,” tambahnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa yang melawat pusat tahfiz itu semalam mengesahkan ia belum berdaftar dengan pihak berkuasa.

Tinjauan The Malaysian Insight semalam juga mendapati aspek keselamatan pusat tahfiz itu agak membimbangkan kerana banyak wayar yang masih terjuntai dan tiada tapak himpunan kecemasan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Sumber semalam memberitahu The Malaysian Insight, sebuah masjid berdekatan telah mengambil tugas memantau pengurusan pusat tahfiz berkenaan. – 25 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen