Sedia tanggungjawab kalau laporan ke SPRM fitnah, kata setiausaha politik menteri


Nabihah Hamid

Kalau betul ada bukti yang kukuh dan cukup, sesiapa juga berhak kemukakan laporan kepada SPRM atau polis, kata Hilman Idham, setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2018.

PIHAK yang membuat dakwaan salah laku rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus sedia untuk bertanggungjawab sekiranya tuduhan mereka itu tidak betul dan akhirnya terbukti hanya fitnah, kata beberapa setiausaha politik menteri dari PKR.

Sesiapa sahaja berhak untuk buat laporan kepada pihak berkuasa tetapi jangan pula pihak berkuasa diheret ke dalam pemilihan jawatan parti untuk dijadikan modal kempen memburukkan lawan, kata mereka.

“Saya kira semua orang ada hak untuk melaporkan apa saja. Kalau betul ada bukti yang kukuh dan cukup, saya rasa siapa juga berhak kemukakan laporan kepada SPRM atau polis,” kata Hilman Idham, setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Hilman yang juga bertanding jawatan timbalan ketua sayap pemuda, Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengulas tindakan calon naib ketua AMK, Syukri Ab Razab membuat laporan kepada SPRM mendakwa ada setiausaha politik menteri terlibat menjanjikan projek untuk meraih undi dalam pemilihan parti.

“Jangan jadikan medan pemilihan ini untuk melaporkan segala-galanya. Sebelum ini sudah biasa, banyak pimpinan buat laporan polis, termasuk (menuduh) Azmin Ali (rasuah) tetapi akhirnya  kita tahu bahawa ia berunsur fitnah. 

“Banyak pimpinan yang buat laporan terhadap SPRM dan ternyata SPRM kata tiada kes dan akhirnya kita tahu ia unsur fitnah dan pimpinan ini tidak memohon maaf pada sesiapa pun,” kata Hilman yang juga Adun Gombak Setia.

Pagi tadi, Syukri menyerahkan bukti kepada SPRM mendakwa seorang setiausaha politik menteri menyalah guna kuasa dengan menawarkan projek pembangunan bernilai RM20,000. Beliau mendakwa tawaran projek itu sebagai habuan berkaitan pemilihan PKR.

Beliau juga mendakwa setiausaha politik berkenaan bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ketua sebuah cabang di Pahang. Individu yang dilaporkan kepada SPRM itu dituduh menawarkan rasuah itu dalam satu mesyuarat di Pahang pada 1 September lalu.

Pagi tadi, calon naib ketua AMK, Syukri Ab Razab (tengah) menyerahkan bukti kepada SPRM mendakwa seorang setiausaha politik menteri menyalah guna kuasa dengan menawarkan projek pembangunan bernilai RM20,000. Beliau mendakwa tawaran projek itu sebagai habuan berkaitan pemilihan PKR. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 September, 2018.

Bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada Ahad mendedahkan ada calon pemilihan PKR yang menawarkan projek kepada ahli untuk meraih undi.

Beliau memberi amaran tidak akan bertolak ansur dengan amalan kotor itu dan sedia membuang mereka yang terlibat dari parti.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya mengalu-alukan laporan mengenai dakwaan rasuah dalam pemilihan PKR itu supaya dapat diambil tindakan yang selanjutnya.

Dalam pada itu, setiausaha politik kepada Menteri Kerjaya Raya Baru Bian, Zakaria Ab Hamid berkata aduan kepada pihak berkuasa seperti ini biasa berlaku lebih-lebih lagi ketika musim pemilihan parti.

“Setiausaha politik ramai. Kita tak tahu hujung pangkal. Lagipun ini musim pemilihan, macam-macam timbul. Jadi kena tanya dia balik, anak-anak muda ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya rasa nak siasat, siasatlah itu hak dia untuk buat laporan dan kita tengoklah hasilnya bagaimana. Saya tiada masalah. Kita kena menyokong, benda-benda tidak baik ini kita perlu perbetulkan,” kata Zakaria yang juga bertanding calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP). 

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Zuraida Kamaruddin, Hizwan Ahmad enggan mengulas lanjut.

“Bukan saya. Saya tidak mahu komen,” kata pegawai kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu kepada The Malaysian Insight. – 25 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen