KEKECOHAN dalam pemilihan PKR di Pulau Pinang dan Kedah hujung minggu lepas bukan sahaja memalukan parti tetapi menunjukkan masih ada anggota parti yang tidak faham maksud demokrasi, kata beberapa pemimpin parti itu.
Mereka yang juga calon dalam pemilihan ini berkata kesilapan teknikal pada sistem pengundian elektronik bukan alasan untuk penyokong menggunakan keganasan dan mencetuskan kekecohan.
Mereka juga menyalahkan suasana kempen yang negatif sebagai punca membawa kepada ketegangan pada hari pengundian hujung minggu lalu.
Naib Presiden Tian Chua yang bertanding mempertahankan jawatannya tidak menolak ada unsur sabotaj kerana terdapat kumpulan-kumpulan yang mewakili calon tertentu memulakan kekecohan.
“Saya harap polis boleh siasat secara teliti. Bagi saya, sepatutnya tidak berlaku. Orang ini tidak tahu bagaimana menjaga diri sendiri.
“Kalau e-voting ada masalah pun, tidak perlu buat kecoh. Tapi kenapa buat kecoh?
“Ini sangat memalukan. Ini menunjukkan ada pihak tertentu tidak faham maksud demokrasi,Demokrasi bukan hanya rebut jawatan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
“Saya salahkan calon-calon tertentu sebelum pemilihan dia sudah menghasut penyokong dia dengan kata-kata kesat dan fitnah,” tambahnya.
Ahad lepas, polis menahan empat lelaki dalam lingkungan umur 20-an hingga 40-an berhubung kekecohan hingga menyebabkan kecederaan semasa pemilihan PKR di Cabang Merbok Sungai Petani, Kedah.
Manakala di Pulau Pinang terdapat insiden baling kerusi oleh anggota kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan.
Bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata pihak yang mencetuskan kekecohan seperti yang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah akan disingkirkan dari parti.

“Yang mana baling kerusi kita baling keluar. Ini (baling kerusi) bukan cara kita. Yang mahu kekal (dalam parti) kena ikut peraturan,” katanya.
Sementara itu, calon Majlis Pimpinan Pusat Yusmadi Yusoff menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang mencetuskan kekecohan.
Beliau turut menasihatkan setiap calon yang bertanding supaya memberi contoh dan memimpin penyokong dan bukannya memberi kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan.
“Pemimpin perlu memimpin pengikut-pengikutnya. Pemimpin yang baik adalah memberi contoh yang baik sebelum dipilih,” katanya.
Beliau juga menjelaskan isunya bukan e-voting kerana itu hanya teknologi untuk mempermudahkan urusan pemilihan, sebaliknya isu sebenar ialah budaya demokrasi.
“Saya ingin menggalakkan JPP yang diteraju Rashid Din perlu tegas terutamanya isu melibatkan kekerasan dan keganasan. Beza pandangan boleh tetapi kekerasan kita tolak,” kata senator itu ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Dalam pada itu, calon Ketua AMK Pusat, Najwan Halimi berkata JPP perlu ambil serius punca kekecohan yang berlaku disebabkan kepincangan yang berlaku dalam sistem e-voting itu.
“Masih ada masa untuk kembali sistem manual. Selagi mana ia ada jaminan ketelusan dan bersifat praktikal.
“Di kawasan luar bandar ada aduan kelengkapan tidak mencukupi selain tiada internet. Undian meragukan.

“Perkara seperti ini menjejaskan imej Keadilan. Kita ini parti yang bercakap soal reform, kebajikan rakyat dan politik matang tapi dalam pemilihan parti sendiri tidak boleh mengamalkan pendekatan tersebut, ” katanya yang juga Adun Kota Anggerik.
Sementara itu, calon Naib Presiden Vasantha Kumar Krishnan berpendapat kepincangan yang berlaku dalam pengundian menyebabkan ramai anggota hilang sabar.
“Saya lihat ada yang bukan JPP turut terlibat bantu proses e-voting. Mereka tidak cukup petugas.
“JPP beri ruang pada wakil ketua cabang untuk menjalankan tugas JPP. Itu tidak boleh,” kata bekas pemimpin NGO Hindraf itu yang mendakwa menyaksikan sendiri salah laku tersebut. – 25 September, 2018
Komen