Majikan perlu bayar penuh RM10,000 levi pekerja asing 


Chan Kok Leong

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan sebelum ini mahu membantu majikan dengan formula 20:80.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2018

MAJIKAN kini perlu menanggung bayaran keseluruhan RM10,000 levi untuk memanjangkan tempoh perkhidmatan pekerja asing, kata Kementerian Kewangan.

“Bayaran levi RM10,000 akan dibayar oleh majikan sekiranya mereka mahu pekerja asing mereka terus bekerja di Malaysia selepas 10 tahun,” kata menterinya Lim Guan Eng hari ini.

Keputusan ini dibuat sehari selepas beliau mengumumkan majikan dan pekerja asing perlu berkongsi bayaran tahunan levi pada kadar 20:80, yang bermakna pekerja asing perlu membayar RM8,000.

Lim berkata kerajaan sebelum ini mahu membantu majikan dengan formula 20:80.

“Tetapi susulann pengumuman itu semalam, majikan merungut di akhbar tempatan pekerja asing tidak mampu membayar 80%.

“Justeru, majikan kini perlu menanggung kos keseluruhan sekiranya mereka mahu memanjangkan tempoh perkhidmatan pekerja asing mahir mereka,” kata Lim pada sidang media di Putrajaya.

Levi RM10,000 tertakluk kepada mereka yang sudah bekerja selama 10 tahun di Malaysia dan mahu menyambung tempoh itu menggunakan permit kerja sementara, yang perlu diperbaharui setiap tahun sehingga tiga tahun.

Pekerja asing perlu kembali ke negara asal mereka selepas bekerja selama 10 tahun.

Keputusan untuk pekerja asing membayar 80% levi untuk melanjutka tempoh setahun adalah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja berpengalaman.

Persekutuan Majikan Malaysia semalam menyelar langkah itu dan berkata ia akan membawa kepada kemasukan pekerja asing secara haram lebih ramai.

Lim hari ini berkata, majikan yang enggan menanggung bayaran levi tahunan RM10,000 boleh menghantar pekerja mereka kembali ke negara asal dan menggaji mereka semua sebagai pekerja baru.

“Mereka hanya perlu membayar RM1,850 setahun,” kata Lim. – 25 September, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen