UMNO akan kekal di Sabah dan akan diberi autonomi untuk tentukan masa depannya sendiri, kata presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
“Saya secara rasminya sudah menerima memorandum Umno Sabah untuk memohon autonominya hari ini.
“Saya akan umumkan pada 29 September kerana kami mahu permintaan mereka diberi sokongan majlis tertinggi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama pemimpin Umno Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir pengerusi badan perhubungan Umno Sabah Hajiji Hj Noor, setiausahanya Masidi Manjun, timbalan pengerusi Umno Sabah Salleh Said Keruak dan pemimpin kanan Umno Sabah lain.
Ahmad Zahid berkata, permohonan Umno Sabah akan dirasmikan melalui mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan selepas itu, dan menyatakan perlembagaan parti perlu dipinda untuk mencapainya.
“Kami akan memasukkan semua tuntutan dalam perlembagaan baru dan membincangkan perkara itu supaya ia dapat pengesahan apabila ia dimasukkan dalam perlembagaan Umno,” katanya.
Ahmad Zahid berkata dengan kuasa autonomi diberikan kepada Umno negeri, parti akan kekal di negeri itu, justeru ia bebas untuk membuat keputusan termasuk melibatkan hasrat parti untuk menyertai Gabungan Bersatu Sabah (GBS).
Tuntutan autonomi akan menjamin kehadiran Umno di negeri ini dan boleh menamatkan spekulasi bahawa ia mungkin akan dibubarkan untuk semua anggotanya untuk membentuk parti baru atau menyertai yang sedia ada.
Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah gagal mengekalkan kuasa di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke 14, 9 Mei lalu selepas tewas pada majoriti awal.
Ini berikutan beberapa wakil rakyat Pertubuhan Pasok Momogun KadazanDusun Murut Bersatu dan Umno menyertai Parti Warisan Sabah - Pakatan Harapan.
Setakat ini, Umno sudah menjalin kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Bersatu Sabah untuk membentuk GBS bagi menggantikan BN. – 25 September, 2018
Komen