Siasatan Musa ugut Yang di-Pertua Sabah sudah siap, kata polis


Jason Santos

Musa Aman sebelum ini dihendaki kerana laporan polis dibuat Yang di-Pertua Sabah berkaitan ugutan jenayah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2018.

SIASATAN kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman sudah disiapkan dan laporan sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah hari ini.

“Jadi sekarang kami akan tunggu arahan tindakan selanjutnya. Masih tidak ada lagi pertuduhan dibuat kepada Musa. Kami akan tunggu arahan selanjutnya,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.

Polis sebelum ini tidak dapat menyempurnakan siasatan mereka selepas Musa terbang ke London untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Bekas ketua perhubungan Umno Sabah itu meninggalkan Sabah pada 16 Mei dan hanya kembali ke tanah air pada 5 September lalu.

Beliau dihendaki polis berkaitan laporan ugutan jenayah dibuat kepadanya oleh Yang di-Pertua Sabah kerana mengugut pada malam majlis angkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei.

Bekas pesuruhjaya polis Sabah Ramli Din sebelum ini berkata siasatan tidak dapat dilengkapkan kerana Musa tidak dapat ditemui untuk diambil keterangan.

Musa menafikan melarikan diri daripada pihak berkuasa, mendakwa menggunakan saluran sah untuk ke luar negara. – 25 September, 2018.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen