Perlembagaan baharu perlu untuk iktiraf hak Sabah dan Sarawak 


Jason Santos

Perjanjian 20 Perkara Sabah menyatakan keperluan untuk perlembagaan persekutuan yang baharu beriktan penyertaan dua negeri Borneo termasuk Sarawak ke dalam Malaysia pada 1963.

PERLEMBAGAAN Persekutuan yang baharu perlu digubal bagi mengembalikan status rakan kongsi yag sama dalam Persekutuan Malaysia, kata pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah, Simon Sipaun. 

Ia tidak mencukupi dengan hanya meminda perlembagaan, katanya, kerana keperluan untuk perlembagaan baharu bagi negara yang baru ditubuhkan pada tahun 1963 jelas dinyatakan dalam perjanjian 20 Perkara untuk Sabah.

Beliau berkata perlembagaan sekarang adalah “cacat” kerana ia hanya perlembagaan untuk Tanah Melayu yang telah diguna pakai sebagai perlembagaan persekutuan untuk merangkumi Sabah dan Sarawak, yang sudah menjadi wilayah pentadbiran sendiri ketika mereka membentuk Malaysia dengan Tanah Melayu dan Singapura.

Sabah dan Sarawak diberikan autonomi sendiri daripada British pada 22 Julai dan 21 Ogos, pada 1963 menjelang pembentukan Malaysia pada 16 September pada tahun yang sama. 

Sipaun berkata perjanjian 20 Perkara Sabah, dokumen yang dibuat untuk menjamin hak Sabah berikutan penyertaannya ke dalam Malaysia, telah menyatakan keperluan untuk perlembagaan persekutuan yang baharu. 

Perkara 3 menyatakan, walaupun diterima bahawa perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sekarang harus menjadi asas perlembagaan persekutuan Malaysia, perlembagaan persekutuan perlu “dokumen yang benar-benar baru”.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah, Simon Sipaun menyatakan perlembagaan sedia ada hanya untuk Tanah Melayu sebelum pembentukan Malaysia pada 1963. – Gambar The Malaysian Insight, 26 September, 2018.

Sepatutnya menurut beliau, Malaysia juga perlu ada bendera dan lagu kebangsaan baharu sempena kelahiran negara baharu pada 1963. Lagu kebangsaan Negaraku dipilih pada 1957 untuk kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.

Sipaun berkata demikian kepada The Malaysian Insight berikutan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Sabah minggu lalu, di mana beliau menjanjikan hak kesamarataan bagi Sabah dan Sarawak sebaik sahaja kaijan ke atas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selesai. 

Isu hak kesamarataan bagi dua negeri Borneo itu sudah berlarutan sekian lama, dengan aktivis hak negeri mendakwa Putrajaya mengabaikan MA63. 

Namun Sipaun memberi amaran bahawa MA63 tidak pernah disebut dalam perlembagaan persekutuan, dan itu satu lagi sebab mengapa perlembagaan baharu perlu digubal.

“Rakyat menyatakan pembentukan Malaysia berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963. Tetapi jika kamu lihat pada perlembagaan persekutuan, tidak disebut mengenai MA63.

“Malah, perjanjian itu tidak jelas yang mana peguam pun tidak mampu berhujah tentang butirannya,” kata bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang juga berkhidmat sebagai setiausaha kerajaan negeri Sabah. 

Satu lagi kelemahan dalam MA63 untuk menuntut hak Sabah dan Sarawak adalah fakta yang mana perjanjian itu sudah dilanggar apabila Singapura meninggalkan persekutuan Tanah Melayu pada 1965, tambah Sipaun. 

Oleh itu, MA63 kini tidak cukup kuat untuk menjadi asas meminda perlembagaan persekutuan bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata Tanah Melayu.

Hak autonomi Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia juga dikurangkan sebagaimana yang dilihat dalam Perkara 1 (2) pindaan perlembagaan 1976, yang menamakan mereka sebagai antara negeri dalam persekutuan Malaysia. 

Malaysia dibentuk pada 1963, kemelut perjanjian pembentukan itu terasa sehingga kini selepas negeri Borneo mula bersuara menuntut kembali hak mereka yang selama ini terpinggir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2018.

Sipaun berkata, beliau tidak menganggap pindaan ini sah, dan menyatakan pindaan perlembagaan melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak tidak dapat diluluskan tanpa persetujuan negeri melalui ketua negeri atau Yang di-Pertua. 

Yang di-Pertua perlu dinasihatkan oleh kerajaan negeri namun Sipaun menyatakan bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh pernah menyatakan sebelum itu kerajaannya “tidak pernah dirunding ketika parlimen meluluskan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan ketika itu”.

Harris merupakan ketua menteri dalam kerajaan Berjaya pada 1976 apabila pindaan untuk merendahkan Sabah dan Sarawak itu diluluskan. 

Tambah Sipaun, rekod Hansard Parlimen menunjukkan sokongan daripada 130 ahli Parlimen untuk pindaan Perkara 1(2) pada 13 Julai, 1976 manakala hanya empat ahli Parlimen yang membantah.

Tiada ahli Parlimen dari Sarawak yang membantah pindaan itu. 

Empat ahli Parlimen yang membantah itu semuanya dari DAP yang merupakan parti pembangkang ketika itu - Lim Kit Siang, Dr Tan Chee Khoon, Farn Seong Than dan Lee Lam Thye.

Ahli Parlimen Sarawak terkenal Leo Moggie Irrok dan Tin Ling Kiew tidak direkodkan dalam Hansard jadi tidak diketahui sama ada mereka menyokong pindaan itu atau sebaliknya. 

Ahli Parlimen Sabah Datu Mustapha Datu Harun dan Pengiran Tahir Pengiran Patera juga tiada dalam rekod. 

Semua ini menunjukkan pembentukan Malaysia tidak dikendalikan dengan baik.

“Ia kacau bilau,” kata Sipaun, menjelaskan mengapa kebencian sangat kuat di Sabah dan Sarawak kepada cubaan kerajaan persekutuan utuk mengasimilasikan mereka ke dalam budaya kebangsaan.

“Sehingga kini, kami dipaksa untuk meraikan kemerdekaan Tanah Melayu. Serius, Merdeka 61 tahun?,” katanya merujuk kepada sambutan Mereka setiap 31 Ogos.

“Malaysia tidak pernah mencapai kemerdekaan kerana ia tidak pernah dijajah.” – 26 September, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen