TIDAK masuk akal pengetua Pusat Tahfiz Darul As-Syabab mencabul dan meliwat pelajarnya sendiri, kata beberapa penduduk yang berjiran dengan sekolah pengajian Al-Quran di Kepong, Kuala Lumpur itu.
Waris dan pelajar pusat tahfiz itu juga tidak percaya dengan berita gempar yang dilaporkan media sejak beberapa hari lalu, yang sekali lagi meletakkan institusi tahfiz di bawah kanta perhatian masyarakat dan pihak berkuasa.
Ketika semua pihak kini meneliti institusi tahfiz di seluruh Malaysia, pusat tahfiz di Kepong itu diambil alih pengurusannya oleh sebuah masjid berhampiran.
Beberapa penduduk di sekitar Pangsapuri Mutiara Magna, Kepong yang mengenali guru agama itu berkata mereka kenal lelaki berumur dalam lingkungan 30-an itu kerana budi pekertinya yang tinggi.
Budi pekertinya yang mereka lihat itu tidak seperti yang digambarkan oleh media – lelaki bernafsu binatang yang meratah anak didiknya sendiri.
Rata-rata mereka yang ditemui merasakan apa yang mereka baca di media itu sebagai fitnah.
“Bagi saya, susah nak terima sebab bukan saya sahaja yang kenal tapi boleh katakan seluruh penduduk Kepong kenal beliau. Beliau aktif dengan aktiviti masyarakat terutama sekali bab-bab agama.

“Kita terharu dengan perkara yang berlaku. Latar belakang keluarganya baik-baik.
“Kita pun kasihan (kepada mangsa) jika ia betul berlaku tetapi kalau tak (berlaku), ia menganiaya orang,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Atok, 60 tahun.
Ibu seorang pelajar di pusat tahfiz itu yang juga berjiran dengan ibu bapa suspek berkata lelaki yang mereka panggil “ustaz” itu seorang yang penyayang.
“Saya tidak percaya dakwaan ini. Saya dah kenal lama (dengan suspek). Anak saya sendiri cakap dia penyayang dengan kanak-kanak, dia sayang seperti anaknya sendiri,” kata Siti Aina Maulana, 34, yang turut beranggapan berita-berita yang tersiar di media sebagai tidak masuk akal.
The Malaysian Insight cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan pusat tahfiz itu tetapi mereka enggan memberi sebarang komen.
Seorang sumber yang dekat dengan pihak pengurusan bagaimanapun memberitahu pusat tahfiz itu akan diambil alih pengurusannya oleh pihak Masjid Amaniah, yang terletak kira-kira 5 km dari deretan rumah kedai yang menempatkan sekolah Quran itu.
Seorang sumber dari jawatankuasa masjid bagaimanapun menjelaskan masjid itu bukan mengambil alih pusat tahfiz berkenaan sebaliknya hanya akan memantau pengurusannya.
“Buat masa sekarang tiada arahan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan (Jawi) untuk mengambil alih Darul As-Syabab.
“Pihak masjid hanya memantau dan memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak tahfiz diutamakan,” kata sumber yang enggan namanya dipetik.
.jpg)
Pusat Tahfiz As-Syabab terletak di Tingkat 2, Plaza Metro Prima yang dikelilingi beberapa pangsapuri dan kondominium. Asramanya pula terletak di tingkat bawah Blok A, Pangsapuri Mutiara Magna, lebih kurang 50 meter dari pusat tahfiz itu.
Pusat tahfiz itu terletak di kawasan yang sibuk dengan kenderaan masuk keluar, manakala terhimpit di tengah-tengah pelbagai jenis perniagaan di deretan rumah kedai termasuk restoran makanan Cina, kedai rokok elektronik dan rumah urut.
Pangsapuri yang jadi asrama bagi pelajar tahfiz itu juga menempatkan asrama pekerja asing antaranya dari Indonesia, Pakistan dan Bangladesh.
Isteri suspek yang juga pembantu di pusat tahfiz itu berkata mereka memulakan operasi sejak November lepas dengan menumpang di sebuah masjid sebelum berpindah ke unit kedai itu pada awal tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof yang melawat pusat tahfiz itu semalam mengesahkan ia belum berdaftar dengan pihak berkuasa.
Tinjauan The Malaysian Insight mendapati aspek keselamatan pusat tahfiz itu agak membimbangkan kerana banyak wayar yang masih terjuntai dan tiada tapak himpunan kecemasan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Sementara itu, beberapa pelajar tahfiz yang ditemui juga terkejut dengan berita gempar mengenai tempat mereka belajar mengaji dan menghafal Quran itu.
Kata mereka, dalam kalangan rakan-rakan tidak pernah ada sesiapa yang bercakap atau mengadu tentang kelakuan pengetua yang didakwa songsang.
Mereka juga tidak tahu siapa dalam kalangan mereka yang jadi mangsa kerana identiti mereka dirahsiakan oleh pihak pengurusan, walaupun setakat semalam tujuh pelajar terlibat masih meneruskan pengajian.
“Kami dapat tahu berita itu masa cuti seminggu. Kami tak tahu siapa sebab ada pelajar yang belum balik lagi dan ada juga yang sudah pindah. Saya pun tak tahu siapa,” kata Abdul Haziq Hamzani, 16.
Mengenai laporan media kononnya pengetua pusat tahfiz itu didakwa membawa mangsanya ke Bukit Bintang dan Chow Kit untuk dicabul dan diliwat, Haziq berkata biasanya pengetua akan membawa pelajar keluar beramai-ramai dan bukan bersendirian.
Minggu lalu, pengetua berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya dengan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
The Malaysian Insight difahamkan suspek kini ada di Kuala Lumpur tetapi tidak dibenarkan datang ke pusat tahfiz berkenaan. – 25 September, 2018.
Komen