ADA banyak isu yang mahu ditangani oleh pengerusi baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun, dan semua isu itu sama mustahak.
Semua itu termasuk dalam pelannya mahu meningkatkan martabat SPR ke tahap antarabangsa, kata peguam kanan itu kepada The Malaysian Insight dalam wawancara pertamanya sejak dilantik ke jawatan itu minggu lalu.
Beliau mahu membersihkan daftar pengundi terutama menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum 2021. Beliau juga mahu melihat bagaimana sistem pendaftaran pengundi boleh dilaksanakan secara automatik.
Namun cabaran besar yang ada di atas mejanya ialah melihat semula persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini yang diluluskan oleh Parlimen tidak lama sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut Azhar, salah agihan pengundi serta pecahan kawasan pilihan raya boleh memberi kesan serius kepada penggubalan dasar, terutamanya jika ia dibahagikan untuk menyesuaikan parti mengikut kaum.
“Kawasan pilihan raya ditentukan dengan membahagikan pengundi mengikut kaum. Ambil Selayang sebagai contoh, yang penduduknya kebanyakannya kaum Cina. Tetapi atas alasan tertentu, kerusi itu diubah untuk memasukkan ribuan pengundi Melayu.
“Ia memberi kesan pada psiki rakyat Malaysia untuk melihat sesebuah kerusi mengikut kaum atau agama, misalnya kawasan Melayu konservatif atau Melayu liberal.
“Kesannya bukan saja pada corak pengundian tetapi ia mempengaruhi cara kita berfikir secara keseluruhannya,” katanya.
Berikut adalah petikan wawancara yang diadakan di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam wawancara ini, beliau menyentuh tentang kuasa SPR untuk mengawal selia dana parti politik, perbelanjaan calon pilihan raya dan penguatkuasaan untuk membanteras rasuah semasa kempen pilihan raya.

TMI: Apa matlamat sebagai pengerusi baru SPR?
Azhar: Matlamat pertama saya ialah untuk tidak dimarahi oleh (penulis) Karim Raslan di televisyen. Itu merangkumi keadaan kita sekarang.
[Editor: Beliau merujuk kepada komen Karim Raslan pada malam PRU14 apabila bekas pengerusi SPR, Mohd Hashim Abdullah ditempelak secara langsung di televisyen kerana badan itu lambat mengumumkan keputusan.]
Tetapi seriusnya matlamat saya ialah meningkatkan prestasi SPR ke tahap yang diterima di peringkat antarabangsa. Bukannya SPR tidak bagus sekarang, bukan. Dari segi operasinya bagus dan sudah mengendalikan pilihan raya banyak kali tanpa sebarang kejadian yang besar. Dari segi operasi, SPR kukuh. Kakitangannya cekap dan komited. Saya mewarisi pasukan yang baik dengan prestasi yang terbukti.
Tetapi dari segi dasar, ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki dan penambahbaikan itu diperlukan. Ini sesuatu yang saya mahu tangani.
TMI: Apa ruang yang mahu diperbaiki?
Azhar: Pertamanya, membersihkan daftar pengundi. Saya juga mahu memperkenalkan pendaftaran automatik pengundi.
Tetapi cabaran paling besar ialah menyemak persempadanan semula yang diluluskan oleh Parlimen sebelum PRU14.

TMI: Proses persempadanan semula atau persempadanan semula itu sendiri?
Azhar: Kedua-duanya, kerana proses itu memberikan kesan kepada keputusannya. Prosedur dan asas persempadanan dibuat semuanya sudah termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan). Tetapi saya kira mereka (SPR) diberikan tafsiran yang berbeza. Saya perlu mencari jalan untuk melihatnya sekali lagi.
Yang jadi kebimbangan ialah peruntukan dalam Perlembagaan iaitu persempadanan semula hanya boleh disemak setiap lapan tahun sekali. Jadi, adakah kita tersangkut dengan apa yang ada untuk lapan tahun alkan datang atau ada sesuatu yang boleh dibuat? Ia memerlukan kajian dan analisis mendalam tentang apa yang tidak kena dengan proses itu dan apa yang boleh dilakukan untuk menanganinya.
Saya juga sedang melihat untuk menguatkuasakan dengan lebih ketat Akta Kesalahan Pilihan Raya. Pada dasarnya, akta itu tidak langsung dikuatkuasakan. Itu menyebabkan kesalahan seperti rasuah (semasa pilihan raya) berlaku selama ini.
Sebagai pengamal undang-undang, kita ke mahkamah berhujah untuk petisyen pilihan raya. Mahkamah mengenakan beban bukti yang tinggi pada pempetisyen. Mereka perlu membuktikan kesalahan yang didakwa dan bagaimana kesalahan itu memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Saya hendak lihat apa bentuk penguatkuasaan yang boleh dijalankan oleh SPR.
Selain itu, saya juga mahu melihat satu cadangan Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihan Raya mengenai meletakkan parti politik di bawah SPR, dan bukannay di bawah Pendaftar Pertubuhan. Ini dibuat di United Kingdom.
Sekiranya di bawah SPR, agensi ini boleh meneliti dana yang masuk ke akaun parti politik, menjadikan proses pilihan raya itu lebih telus.
Ambil misalnya kes pemimpin sebuah parti politik yang baru-baru ini ditemui berlonggok duit tunai di rumahnya. Parti itu mendakwa duit itu milik mereka. Sekiranya parti politik di bawah SPR, agensi ini boleh menyemaknya.
Tetapi soalnya, adakah SPR cukup tenaga dan kepakaran untuk memainkan peranan itu?
Terkait dengan itu juga ialah peraturan perbelanjaan pilihan raya, yang mengikut undang-undang sekarang cukup menghina. Had bagi calon kerusi Parlimen ialah RM200,000 manakala kerusi negeri RM100,000.
Saya tidak pernah nampak SPR menyemak akaun atau adakah calon dipanggil untuk beri penjelasan. Mungkin ada, tetapi saya tidak nampak.
Saya juga mahu melihat kuasa-kuasa SPR, apakah ia ada bidang kuasa untuk memanggil calon untuk menyemak akaun dan sekiranya akaun itu tidak kena, apa yang SPR boleh buat?
Kita semua tahu seorang calon parlimen membelanjakan lebih daripada itu. Kita boleh lihat dengan posternya, kempennya melalui iklan di TV dan sebagainya. Kita perlu lihat adakah had perbelanjaan itu munasabah sekarang atau kita naikkan supaya ia tidak jadi bahan jenaka.
Tidak ada gunanya kita ada peraturan yang semua orang langgar. Kalau kita perlu tingkatkan, kita akan tingkatkan ke tahap yang munasabah.
Semasa pilihan raya, RTM atau TV3 menyiarkan iklan bagi pihak kerajaan dan kita perlu lihat sama ada itu kempen atau urusan biasa kerajaan.
Ada juga hujah had perbelanjaan itu hanya terpakai pada calon dan bukannya parti. Jadi parti boleh belanja berapa saja ia mahu walaupun undang-undang kata tidak boleh. Undang-undang memperuntukkan setiap calon hanya boleh berbelanja melalui agennya setakat itu. Kalau parti berbelanja untuk calon, parti adalah agen.
Yang lebih mendesak ialah petisyen pilihan raya terutamanya yang dibuat terhadap SPR dan pegawai pengurus pilihan raya.

TMI: Bila semua itu hendak diselesaikan?
Azhar: Saya tidak boleh tetapkan bila sehingga saya berbincang dengan pihak berkepentingan. Tetapi yang paling utama dalam senarai ialah membersihkan daftar pemilih kerana akan ada pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak (pada 2021), diikuti petisyen pilihan raya dan akaun perbelanjaan calon.
Saya mahu hentikan kesalahan pilihan raya kerana ia mencemarkan proses demokrasi. Isu persempadanan semula akan ambil masa yang lebih panjang.
TMI: Kenapa mustahak untuk semak persempadanan semula?
Azhar: Pada masa ini kita ada agihan yang tidak betul apabila sesetengah kawasan pilihan raya ada hanya 25,000 pengundi sementara ada pula yang mempunyai 170,000 pengundi.
Lebih teruk lagi, ada kawasan pilihan raya yang ditentukan dengan membahagikan pengundi mengikut kaum. Ambil Selayang, sebagai contoh. Penduduknya kebanyakannya kaum Cina. Tetapi atas alasan tertentu, kerusi itu diubah untuk memasukkan ribuan pengundi Melayu. Oleh itu, kerusi Selayang disempadankan semula untuk membolehkan perubahan itu.
Ada juga penentuan kerusi mengikut kepercayaan agama dan ia tidak mencerminkan profil sebenar kawasan pilihan raya itu. Ini ada kesan besar pada masyarakat. Selepas bertahun-tahun, ia memberi kesan pada psiki rakyat Malaysia untuk melihat sesebuah kerusi mengikut kaum atau agama, misalnya kawasan Melayu konservatif atau Melayu liberal. Kesannya bukan saja pada corak pengundian tetapi ia mempengaruhi cara kita berfikir secara keseluruhannya.
Apabila kerajaan dipilih, ia kemudian menggunakan profil ini untuk membuat dasar. Jadi, dasar pun akan menerima kesan. Ini tidak bagus.
TMI: Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas SPR selepas PRU14. Ia juga menggesa pesuruhjaya yang ada letak jawatan. Adakah itu perlu?
Azhar: Saya mahu melihat ke depan walaupun kita perlu juga menoleh ke belakang untuk belajar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Mengenai RCI, bukan saya yang patut minta kerajaan siasat agensi saya sendiri. Itu keputusan yang perlu dibuat oleh kerajaan. Kalau kerajaan kata siasat, SPR akan beri kerjasama yang diperlukan.
Mengenai kedudukan pesuruhjaya, saya mahu berjumpa dengan mereka untuk membentangkan perancangan saya dan melihat apa yang mereka boleh bantu. Kalau mereka tidak beri sokongan, tentulah kita tidak boleh bekerja bersama.
Sekiranya kerajaan mahu menggantikan mereka, itu hak kerajaan. Tetapi saya mahu berbincang dengan mereka sebelum membuat apa-apa ketetapan. Saya perlu menilai kesediaan mereka untuk Malaysia Baru. – 25 September, 2018.
Komen