SELEPAS mendapati tiga perempat daripada gaji bulanannya dihabiskan untuk pengangkutan dan belanja harian ke pejabat, Nordiana Nuzuin Akma Nordin terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja dua tahun lalu kerana tidak lagi merasakan ia berbaloi.
Diana sebelum ini pengurus operasi di sebuah syarikat swasta agensi media sosial di Kuala Lumpur selama setahun selepas menamatkan latihan amalinya.
“Saya habiskan masa kerja lapan jam di pejabat dan empat jam dalam pengangkutan awam KTM setiap hari (pergi balik) dari Bangi ke Kuala Lumpur.
“Tiga perempat dari gaji saya dihabiskan untuk pengangkutan dan belanja harian kerana pejabat saya terletak di tengah kota raya Kuala Lumpur dengan kos perbelanjaan yang agak tinggi,” kata wanita berusia 28 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Malaysia pada 2015 menunjukkan tenaga buruh wanita pada tahap 54.1% (daripada 9.9 juta tenaga buruh wanita yang ada), ketinggalan jauh berbanding penglibatan lelaki yang mencatatkan 80.6%.
Gaji tidak setimpal, stress dan kerja lebih masa
“Antara sebab utama saya tinggalkan pekerjaan yang lepas kerana gaji bagi lepasan ijazah sarjana muda bermula RM2,500 termasuk KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).
“Kos pengangkutan dan belanja harian saya makan separuh daripada gaji dan untuk berjimat di tengah-tengah Kuala Lumpur memang payah,” katanya.
Keadaan ini turut dirasai Fatin Amalina Lokman, bekas pembantu penerbit yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana komunikasi dan media setelah berhenti kerja.
Fatin berkata, keadaan kerja yang kadang-kala memaksanya bertugas lebih dari 12 jam membuatkannya tertekan.
“Bekerja dalam bidang media memerlukan saya untuk bekerja pada ‘odd hours’ yang mana ada hari saya terpaksa bekerja sehingga jam 2 pagi.
“Memandangkan saya menetap di Shah Alam, ulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari memerlukan belanja yang tinggi – petrol dan tol.
“Oleh itu, untuk satu bulan perbelanjaan kenderaan saya untuk kerja sahaja sudah mencecah RM500. Jadi gaji yang diberikan sangat-sangatlah tidak setimpal,” katanya.
Ini ditambah pula dengan gaji bulanan yang diperolehi sebanyak RM1,800 walaupun ketika itu dia memiliki segulung ijazah komunikasi dan media dengan pencapaian akademik yang baik.
“Semasa saya bekerja di salah sebuah stesen TV, saya digajikan hanya sebanyak RM1,800 sebulan walaupun saya sudah memiliki sijil degree dengan pointer yang baik.
“Alasan diberikan, stesen TV tersebut tidak membayar gaji pekerja berdasarkan tahap pelajaran.”
Dia juga hanya akan dibayar kerja lebih waktu sekiranya dia bekerja lebih masa sekurang-kurangnya tiga jam.
Masa berkualiti dengan keluarga
Apabila dia mengandungkan anak pertama, Diana mengambil keputusan untuk bekerja sendiri sebagai pelukis dan pereka grafik sepenuh masa.
“Saya ada alahan pada persekitaran tempat kerja. Sewaktu cuti rehat saya banyak membaca buku tentang peranan dan sumbangan wanita dalam masyarakat. Dari situ saya mula pertimbangkan keputusan untuk kerja atau tidak bekerja di pejabat.
“Apa yang mempengaruhi keputusan saya lagi adalah ibu saya, seorang ibu tunggal yang membesarkan saya hanya bekerja di rumah,” katanya.
Menurut kaji selidik ACCA-TalentCorp, Mengekalkan Wanita dalam Tenaga Kerja, tiga faktor utama wanita meninggalkan tenaga kerja atas sebab berkeluarga (membina keluarga), kurang keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan, dan ingin menjaga ahli keluarga.
Trend tenaga buruh wanita sama ada dalam kalangan tidak berkahwin atau yang sudah berkahwin meninggalkan sektor pekerjaan pada umur sekitar akhir 20-an hingga awal 30-an adalah membimbangkan.
Fatin yang baru sahaja melahirkan bayi pertamanya berkata, sebagai seorang ibu, keputusannya berhenti dari kerja pada usia muda adalah kerana ingin menjaga anaknya sendiri dan tidak mengharapkan bantuan orang luar.
“Banyak sangat kes yang mengerikan macam anak diberi ubat tidur di pusat jagaan. Keadaan sekarang bukan macam dulu lagi. Bagi saya orang ramai tak patut pandang serong terhadap wanita mengakhiri zaman pekerjaannya di usia yang muda,” katanya.
Katanya, meskipun buat masa ini dia tidak bekerja tetapi dia menyimpan niat untuk bekerja selepas anaknya mencapai usia sekurang-kurangnya enam bulan.
Persepsi orang ramai
Biarpun mendapat kritikan negatif, Diana membuktikan bahawa dia mampu mengimbangi kerja dan rumah tangganya, dengan menghasilkan pulangan bulanan yang lebih baik berbanding sewaktu dia bekerja di pejabat sebelum ini.
Katanya, walaupun pendapatan bekerja secara bebas dari rumah tidak menentu, dia mampu membawa pulangan sebanyak RM5,000 hingga RM7,000 sebulan bergantung kepada kerja yang diterimanya pada bulan tersebut.
“Sejujurnya, masyarakat kita masih lagi memandang rendah terhadap wanita yang tidak bekerja di pejabat.
“Mentaliti kebanyakan orang kita merasakan wanita yang tidak keluar bekerja, tidak menyumbangkan kepada struktur pembangunan masyarakat dalam semua sektor.
“Antara respons ahli keluarga pula, mereka risau jika saya tidak ada duit untuk beli barang rumah atau makanan disebabkan pada mata kasar cuma suami saya yang bekerja pejabat.
“Lebih-lebih lagi apabila kami sudah pun dikurniakan cahaya mata. Pada hakikatnya, sejak bekerja dari rumah, saya mampu hasilkan pendapatan lebih dari gaji sebelum ini. Malah mampu mengimbangi kewangan keluarga kami setiap bulan,” katanya.
Jun tahun lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (FLPR) negara ini meningkat kepada 54.1% pada 2015 berbanding 46.8% pada 2010.
Bagaimanapun, angka tersebut kurang daripada sasaran – 55% yang ditetapkan untuk tahun 2015, dengan peningkatan 7.3% dari tahun tersebut. Ini menjadikan tambahan sebanyak 750,000 wanita yang menyertai tenaga kerja. – 6 Ogos, 2017.
Komen