PEMIMPIN kanan Umno yang keluar parti berbuat demikian kerana mereka ada kepentingan diri dan lemah semangat, tidak seperti ahli akar umbi yang jauh lebih setia dalam perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, kata Annuar Musa.
Setiausaha Agung Umno itu berkata walaupun pemimpin kanan ini keluar parti, Umno di peringkat akar umbi yang mereka pimpin sebelum ini tidak terjejas apa-apa.
“Boleh tengok sendiri, keluar seorang di Jeli (Mustapa Mohamed) maka tutup Jeli, seorang keluar di Masjid Tanah (Mas Emeryati Samsuddin), maka tutup di Masjid Tanah. Adakah itu berlaku?
“Yang lemah semangat itu pemimpin sebab pemimpin terlalu banyak kepentingan peribadi.
“Tetapi orang kampung dan rakyat, mereka lebih setia kepada perjuangan,” katanya kepada wartawan dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.
Hari ini, Ketua Umno Bahagian Cheras Syed Ali Al-Habshee mengumumkan keluar Umno, tidak sampai seminggu selepas dua ahli Parlimen dan bekas menteri Kabinet pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang lepas meninggalkan parti itu.
Bekas Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan itu berkata beliau keluar Umno demi menjaga survival orang Melayu di Kuala Lumpur.

Menurut Annuar, beliau menerima notis rasmi perletakan jawatan Syed Ali walaupun sudah mendengar maklumat tidak rasmi mengenainya hari ini.
Annuar berkata, situasi ini bukan satu perkara baharu bagi Umno kerana ia telah terjadi sejak zaman pengasas parti Onn Jaafar.
“Di awal penubuhan Umno, yang kekal itu perjuangan. Pemimpin datang dan pergi. Kita anggap ini satu proses biasa.
“Malah pemimpin dalam kerajaan sekarang adalah semua pemimpin-pemimpin migran,” katanya tanpa merujuk secara terperinci kepada mana-mana individu.
Pada Selasa lalu, Mustapa mengumumkan keluar parti atas alasan tidak percaya dengan usaha parti untuk meraih kembali kepercayaan masyarakat.
Sehari selepas itu, Anifah Aman yang juga ahli Parlimen Kimanis juga turut berbuat dmeikian kerana merasakan kerajaan pimpinan BN sebelum ini tidak menunaikan tuntutan Sabah. – 24 September, 2018.
Komen