LIOW Tiong Lai sepatutnya meletak jawatan sebagai presiden MCA untuk mengambil tanggungjawab atas kelemahan parti itu, sama seperti yang dilakukan oleh Najib Razak selepas Umno yang menunjangi Barisan Nasional (BN) gagal menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Annuar Musa.
Setiausaha Agung Umno itu berkata Liow tidak patut campur tangan dalam urusan Umno sebaliknya menumpukan perhatian mencari jalan untuk memperkukuhkan partinya sendiri, seperti yang sedang Umno lakukan.
“Elok kita cari jalan kuatkan parti masing-masing daripada tumpukan rumah tangga orang lain, macam dalam Umno… tukar presiden, tukar saf cawangan, retreat (untuk) gubal road maps yang sedang disediakan, general meeting dan roll out plan yang sistematik. Itu peringkat Umno.
“Saya nasihatkan MCA (buat begitu) juga, kalau nak cari kekuatan baru, harus mereka cipta semula diri mereka sendiri. Kalau pimpinan rasa bertanggungjawab pada kelemahan parti, satu-satunya cara yang terhormat ialah letak jawatan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.
Annuar mengulas kenyataan Liow yang mahu BN dibubarkan atau Umno keluar dari BN jika parti Melayu dalam muafakat politik bekas kerajaan persekutuan itu mahu bekerjasama dengan PAS.
Dalam ucapannya di Konvensyen MCA Selangor 2018 semalam, Liow turut berkata BN harus meraikan kepelbagaian budaya dan terus menjaga keharmonian kaum di Malaysia.

“Kenyataan Liow itu sangat tak relevan dan saya rasakan pendapatnya sangat dangkal dengan andaian yang tak relevan serta tak mencerminkan karakter dan wibawa sebagai presiden MCA,” kata Annuar.
Katanya, dasar parti Melayu itu tetap sama dan akan meneruskan kerjasama sesama parti pembangkang yang lain kerana merasakan parti-parti pembangkang di negara ini tidak boleh bekerja sendirian.
Ahli Parlimen Ketereh yang menafikan gabungan bersama PAS itu berkata, BN perlu mempunyai konsensus sekiranya parti Islam itu ingin menyertai BN.
“Tapi apa yang saya nak tekankan masa depan corak BN akan ada perubahan saya harap dapat diperhatikan dalam ucapan dasar presiden BN nanti. – 24 September, 2018.
Komen