POLIS menahan abang ipar dan kakak ipar Nazrin Hassan bagi membantu siasatan kes pembunuhan CEO Cradle Fund itu, seminggu selepas polis menyiasat balu dan dua anak tirinya.
“Mereka ditahan malam semalam,” sumber polis memberitahu The Malaysian Insight.
Sebelum ini polis menahan isteri Nazrin dan bekas suaminya serta dua anak lelaki mereka. Kesemua mereka direman dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata kedua-dua suspek berkenaan akan direman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas polis mendapat perintah reman pagi tadi.
Menurut Fadzil, mereka ditahan pada kira-kira pukul 10.20 malam tadi di sebuah rumah di Kiara View, Taman Tun Dr Ismail.
“Kami menahan mereka berdua pada pukul 10.20 malam kerana kami percaya mereka boleh membantu siasatan.
“Wanita yang ditangkap berusia 39 tahun manakala lelaki itu berusia 41 tahun. Kedua-duanya akan ditahan reman selama empat hari,” kata Fadzil.
Kes di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dilaporkan, Nazrin mengalami kecederaan di leher, dipercayai disebabkan anak panah.
Seorang daripada anak tiri Nazrin dikatakan merupakan pemanah sekolah.
Sebelum ini dilaporkan polis menemui anak panah yang dipercayai digunakan untuk membunuh Nazrin di dalam sebuah beg set memanah di rumah suspek, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu pada minggu lepas.
“Senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh sudah ditemui, jadi tidak ada lagi keperluan untuk menahan remaja-remaja tersebut,” kata Hakim Indera Ab. Karim Ab. Rahman ketika mengarahkan pembebasan dua anak tiri Nazrin.
Anak tiri Nazrin, masing-masing berusia 14 dan 15 tahun, sebelum ini direman selama seminggu dan dibebaskan hari ini setelah empat hari ditahan lokap.
Ketika membebaskan remaja terbabit, hakim berkata tiada justifikasi untuk menahan mereka lebih lama.
Nazrin ditemui mati terbakar dalam bilik tidur di sebuah rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya.
Menurut keluarganya, telefon bimbit mangsa meletup menyebabkan kebakaran. Cradle Fund turut mengeluarkan kenyataan mengatakan CEOnya meninggal dunia akibat kecederaan kerana letupan telefon bimbit yang dicas bersebelahan katilnya.
Bagaimanapun, polis Selangor mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas pasukan penyiasat menemui kesan petrol di bilik berkenaan.
Nazrin memiliki Bacelor Undang-Undang dari University of Buckingham di United Kingdom pada 1994. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif Majlis Eksekutif United Kingdom untuk Pelajar Malaysia.
Balunya berusia 43 tahun, merupakan eksekutif kanan di Malaysian Intellectual Property Corporation. – 24 September, 2018.
Komen