Dr Mahathir ingin jejas hubungan baik pemimpin tertinggi Umno, kata Azeez


Looi Sue-Chern

Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Azeez Abdul Rahim mencabar Dr Mahathir Mohamad bersumpah dengan al-Quran bagi membuktikan dakwaannya terhadap timbalan perdana menteri benar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2017.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sedang berusaha memecahbelahkan pemimpin atasan Umno, kata ahli majlis tertinggi parti itu hari ini.

Abdul Azeez Abdul Rahim berkata niat Dr Mahathir, yang kini pengerusi pembangkang Pakatan Harapan, adalah untuk menggugat hubungan baik Presiden Umno Najib Razak, dan Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein.

“Beliau mahu memecahbelahkan Umno, jadi beliau perlu memisahkan tiga ketua itu.

“Itu adalah sudut politiknya. Inilah yang saya perhatikan,” kata pengerusi Lembaga Tabung Haji itu dalam ucapannya selama sejam di perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di Pulau Pinang pagi ini.

Azeez berkata sudahh meminta penjelasan Zahid berhubungan dakwaan Dr Mahathir baru-baru yang Zahid mahu menyingkirkan Najib.

“Beliau memberitahu saya tidak pernah mengatakan perkara sedemikian dan hanya Dr Mahathir yang mengatakannya,” katanya.

Azeez berkata Zahid dan Dr Mahathir perlu bersumpah di masjid bersama al-Quran untuk membuktikan siapa yang bercakap benar.

“Buktikan apa yang anda katakan adalah benar dan bukan pembohongan besar,” katanya, sambil menambah Zahid segera menerima cabaran untuk pergi ke mana-mana masjid untuk bersumpah.

“Ada masalahkah bagi Dr Mahathir untuk bersumpah dengan al-Quran? Jika tidak, kita tidak akan tahu sama ada dakwaannya benar atau tidak.

“Tuduhannya sudah menjadi tular. Malah anak-anak saya juga bertanya kepada saya mengenainya ... mereka juga ingin tahu bagaimana pemimpin nombor dua boleh cuba menyingkirkan pemimpin nombor satu.

“Ia tidak baik untuk parti dan negara. Sebab itulah saya membuat cabaran kepada kedua-dua mereka semalam. Lebih tiga juta ahli parti ingin tahu,” kata Azeez.

Azeez berkata ahli Umno tidak patut tertipu dengan idea yang Dr Mahathir akan kembali mentadbir negara sedangkan partinya yang baru, Bersatu, hanya memegang satu kerusi Parlimen dan negeri.

Pagoh dipegang Ahli Parlimen Muhyiddin Yassin, yang merupakan presiden Bersatu; dan Ayer Hitam di Kedah oleh Mukhriz Mahathir, yang merupakan timbalan presiden Bersatu.

Polis berkata mereka akan memanggil Dr Mahathir untuk mempersoalkan mengenai dakwaan rancangan menjatuhkan Najib itu.

Dr Mahathir didakwa mencadangkan kepada Zahid agar Najib digulingkan dan mendakwa mempunyai rakaman percakapan mereka pada 2015, sejurus selepas Zahid menjadi timbalan perdana menteri.

Ketua Umno Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said berkata, Zahid dan Dr Mahathir perlu membuktikan mereka tidak bersalah.

“Mereka perlu membuktikan tuduhan terhadap mereka tidak benar.

“Zahid sudah menunjukkan komitmennya dengan mengatakan akan bersumpah dan menyerahkan kepada SPRM menyiasatnya.

“Terserah kepada Dr Mahathir untuk memutuskan sama ada beliau mempunyai keberanian melakukan perkara yang sama,” katanya. – 6 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen