MUFTI Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar hari ini menjelaskan gesaannya untuk menurunkan had umur berkahwin kepada 14 tahun bagi wanita dan 16 tahun untuk lelaki.
Beliau berkata ia adalah pandangan peribadinya, kata Bungsu di samping mengatakan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan hal itu.
Beliau turut menambah kenyataannya disalahfahami ketika memberi respon kepada pertanyaan media dengan menggunakan “pandangan peribadinya.”
“Saya sedar apa yang saya katakana itu, namun saya ditanya mengenai pandangan peribadinya. Kerana itu, saya kata ia harus diturunkan kepada umur 14 bagi perempuan dan 16 tahun bagi lelaki,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
Bungsu berkata komennya itu tidak mencerminkan pandangan Jabatan Mufti Sabah atau undang-undang sedia ada.
“Undang-undang ditetapkan pembuat dasar dan mahkamah adalah penguatkuasanya,” kata beliau ketika dihubungi.
Sebelum ini, Bungsu dipetik New Strait Times menunjukkan beliau seakan-akan membantah umur minimum 18 tahun bagi perkahwinan untuk perempuan.
Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata beliau akan mengambil kira pandangan mufti dalam membuat keputusan bagi meminda had umur minimum berkahwin di Sabah.
Beliau menjelaskan pandangan-pandangan mufti akan dipertimbangkan jika perkara itu dibincangkan.
“Kita harus lihat kaedah dan pelaksanaan yang sedia ada kerana kita tahu ada yang berkait dengan urusan agama.
“Kadang-kadang (saya fikir) 18 tahun itu sudah lanjut. Ada sebahagian orang umur 17 tahun sudah berkahwin.
“Bagaimanapun, saya akan merujuk kepada mufti kerana beliau mempunyai autoriti agama dan saya yakin beliau tahu undang-undang (Islam) dan sama ada had umur itu harus 15, 16 atau 18 tahun,” kata beliau hari ini.
Kumpulan pendesak wanita seperti Kumpulan Sumber Tindakan Wanita Sabah (Sawo) dan Wanita Umno Sabah mengkritik kenyataan Bungsu sejajar dengan gesaan kerajaan persekutuan yang mahu menaikkan had umur berkahwin kepada 18 tahun bagi perempuan di seluruh Negara.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling menyokong penuh Bungsu mengenai hal tersebut.
“PAS Sabah risau dengan komen dan pandangan pimpinan masyarakat dan awam secara umumnya di media sosial seperti memperkecilkan, bahkan dalam beberapa kes seakan menghina pandangan (Bungsu).
“Kami mengambil kira pandangan mufti Sabah itu berdasarkan pengetahuan dan kredibiliti agamanya. Ia harus difahami bahawa ia bukan bermaksud mengarahkan perempuan untuk berkahwin pada usia 14 tahun. Perkara itu harus dilihat dari sudut pertimbangan syarak terlebih dahulu,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.
Aminuddin turut menggesa pembuat dasar dan mereka yang mempunyai kuasa memberi keutamaan pandangan-pandangan ketua agama dan ilmuan ketika membuat keputusan. – 23 September, 2018.
Komen