SEORANG lagi wanita di Terengganu bakal berdepan hukuman sebatan selepas mengaku bersalah cuba menawarkan khidmat seks di sebuah hotel, lapor The Star.
Ibu kepada seorang anak tujuh tahun itu bakal menjadi individu ketiga yang akan manjalani hukuman sebatan selepas satu pasangan wanita dijatuhi hukuman sama awal bulan ini.
Beliau juga menghadapi hukuman penjara tiga tahun dan denda tidak lebih RM5,000 bagi pendakwaan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
Dalam mitigasinya, ibu tunggal berusia 30 tahun itu mememinta hukumannya diringankan kerana tidak mampu untuk membayar denda.
Katanya, beliau terpaksa melakukan perbuatan itu kerana memerlukan wang bagi menyara kehidupannya dan anaknya.
Laporan The Star menyebut, tertuduh menerima bayaran RM100 daripada pelanggan untuk melakukan perbuatan itu ketika ditahan.
Beliau juga tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan daripada bekas suaminya sejak diceraikan, kata tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mengikut kertas pendakwaan, wanita berkenaan ditahan ketika sedang bersiap untuk menawarkan khidmat seks di sebuah bilik hotel di Kuala Terenganu pada malam, 17 September lalu.
Pihak berkuasa Jabatan Hal Ehwal Islam Terangganu (JHEAT) turut merampas coli, seluar dalam, kondom dan minyak pelincir daripada wanita itu.
Mahkamah menetapkan 27 September ini untuk memutuskan hukuman dan membenarkan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Terengganu Khasmizan Abdullah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Rosdi Harun.
Mahkamah Syariah Terengganu menjalankan hukuman sebat terhadap dua wanita pada 3 September lalu selepas kedua-duanya mengaku bersalah cuba melakukan hubungan intim di dalam sebuah kereta.
Hukuman itu dikritik aktivis Islam termasuk pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa yang menanggapnya sebagai penghinaan, tidak berperikemanusiaan dan memalukan umat Islam serta Malaysia. – 23 September, 2018.
Komen