Sistem pendidikan pupuk siswa jadi pak turut, kata pensyarah


Zaim Ibrahim

Pensyarah Azmi Sharom pada forum Autonomi Universiti: Siapa Tipu Siapa? semalam berkata sistem pendidikan negara yang memupuk pelajar untuk menurut perintah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 September, 2018.

SIKAP sesetengah mahasiswa yang takut bersuara berpunca daripada sistem pendidikan negara yang memupuk pelajar untuk menurut perintah, kata pensyarah Azmi Sharom.

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya itu berkata sukar untuk memupuk pelajar universiti menjadi aktif dan bebas bersuara kerana sikap itu dibendung sejak peringkat prasekolah.

“Bukan senang kalau seseorang pelajar itu seumur hidupnya diarah untuk menurut perintah sejak tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Mustahil untuk pelajar bersikap bebas kalau pelajar kita daripada produk sistem pendidikan yang tidak membenarkan atau tidak menggalakkan kebebasan bersuara,” katanya.

Azmi berkata pelajar belum tentu akan bebas bersuara sekalipun undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dimansuhkan.

Sehubungan itu katanya, mahasiswa dan pensyarah di universiti perlu memainkan peranan agar bersikap aktif serta tidak takut menyuarakan pandangan.

Turut bercakap pada forum “Autonomi Universiti: Siapa Tipu Siapa?” ialah aktivis NGO Malaysia Muda, Azura Nasron yang berkata sifat takut itu ditanam melalui dasar kerajaan terdahulu.

“Mahasiswa bukan hanya takut tentang dibuang kolej tetapi takut tak dapat kerja, (takut) nama buruk. Bukan hanya terhadap universiti tetapi keluarga juga.

“Kerajaan beritahu kepada semua masyarakat termasuk ibu bapa, kalau anak anda tidak pandai di universiti atau begitu aktif (bersuara), apabila keluar nanti (tamat pengajian) mereka sukar mendapat pekerjaan,” katanya.

Kerajaan pada September lalu mengumumkan akan memansuhkan AUKU yang dan menggantikannya dengan undang-undang baharu.

Bagi langkah permulaan, kerajaan mengumumkan akan mengkaji semula Seksyen 15 dan 16 AUKU bagi memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa.

Forum Merdeka Centre di Petaling Jaya pada malam tadi turut menampilkan Presiden Gabungan Pembebasan Akademi IPT (GPAITP), Asheeq Ali sebagai ahli panel. – 23 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen