ORANG kerdil yang tidak memiliki apa-apa undi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kini menanti dan memerhati dengan penuh debaran semua seismografi politik yang berlaku. Satu undi diberi dan 14 juta orang mengundi pada 9 Mei lalu. Apa saja yang berlaku, pengundi kena bertabahlah kerana PRU15 pasti lima tahun lagi.
Lebih kurang 800,000 ahli PKR mula mengundi semalam. Masih ada undi lagi. Perwakilan Umno sudah mengundi dua bulan lepas. Tunggu tiga tahun lagi.
Namun, banyak yang sudah melupakan soal politik setelah kepenatan kerana memberikan perhatian terlalu tinggi pada tahun-tahun penuh kontroversi selepas PRU13 (2013-2018). Rakyat dan pengundi yang sudah keletihan berpolitik memilih untuk meneruskan kehidupan harian. Politik bukan segalanya. Kehidupan perlu diteruskan.
Tiga pilihan raya kecil (PRK) pun sudah berlalu. Kebetulan semua di peringkat DUN Selangor. Keputusan sudah diketahui. Walaupun peratus keluar mengundi sangat teruk di bawah 50%, namun mandat kekal status quo. Tiga kerusi milik Pakatan Harapan (PH) tetap dimenangi calon-calon PKR dan DAP.
Cuma sekarang debaran PRK terbaharu terasa lebih besar. PRK PRK Port Dickson. Memang besar debarannya, sebab ia membabitkan bakal presiden PKR Anwar Ibrahim. Lebih dramatik, ini PRK memilih bakal perdana menteri. Semua orang tahu, Anwar bakal PM selepas ini.
Kalau bertemu kaki lobi politik terutama kem PKR, mereka menyebut PRK Port Dickson sebagai Langkah PD. Ini yang suspen. Langkah PD menjadikan tema PRK ini, di mulut kaki lobi PKR, membawa konotasi sensasi.
Maknanya, bukan setakat menang PRK saja sasaran PKR tetapi memastikan Anwar segera jadi PM. Orang PKR cakap begitu. Sentimen mereka di PD, bukan setakat untuk Anwar menang dan masuk Parlimen, tetapi menjadi PM lebih awal dan bukan 18 bulan lagi.
Selain Langkah PD, orang Bersatu pula bercakap soal pelarian ahli Parlimen Umno. Kebetulan dua Ahli Parlimen Umno keluar partI, menjadikan lima wakil rakyat Umno kini jadi Bebas dan berada di luar parti pembangkang utama itu.
Tularan nama 17 ahli Parlimen Umno yang bakal melompat parti itu, dikaitkan dengan Langkah PD. Ada yang kata, 17 wakil rakyat ini akan menyeberang ke PKR dan Bersatu. Orang macam Nazri Aziz (Chenderoh) akan masuk PKR untuk kukuhkan kem Anwar, manakala orang macam Mustapa Mohamed yang sudah mengumumkan keluar Umno, akan masuk Bersatu untuk kukuhkan kem Dr Mahathir Mohamad.
Cuma dalam pecahan 17 ahli Parlimen Umno yang bakal melompat parti, tidak ada siapa membuat perkiraan, berapa orang masuk PKR dan berapa orang pula akan masuk Bersatu.
Sekarang kalau heboh isu politik, ia bukan lagi hal PH sebagai kerajaan atau Umno sebagai pembangkang. Peranan Umno sebagai pembangkang sudah sah tidak relevan.
Umno sekarang lebih dilihat sedang bersedia untuk menjadi king maker. Kalau kem Anwar dalam PKR dan Bersatu selaku parti Dr Mahathir berkrisis selepas PRK PD, Umno tahu nilai parti itu sangat besar kerana mampu menjadi king maker membentuk kerajaan.
Namun, pada masa sama, wujud juga perpecahan dalam Umno. Ramai yang tidak sabar menanti detik menjadi king maker. Banyak ahli Parlimen Umno memilih untuk memutuskan sokongan secara peribadi. Itu punca tular senarai nama 17 wakil rakyat yang bakal melompat parti.
Baki 49 wakil rakyat dalam Umno sekarang tidak akan solid undi sebagai king maker secara pukal. Mereka bijak rupanya. Dalam keadaan sekarang, lebih baik menjual kerusi secara individu. Apa guna membiarkan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi menjual sokongan secara pukal.
Wallahua’lam. Barangkali, lompat parti awal lebih banyak manfaatnya berbanding melompat secara pukal mengikut kehendak Zahid.
Inilah senario politik sekarang. Orang ramai sudah malas berdebat hangat di media sosial sebab sudah letih melayan karenah ahli politik.
Zaman BN dengan perangai BN. Sekarang zaman PH pun masih banyak karenah dan perangai politiknya juga.
Rakyat kerdil akan meneruskan hidup ketika pemimpin terus ghairah berpolitik. Rakyat perlukan sepinggan nasi untuk hidup berbanding ahli politik pemimpin yang memerlukan segunung kuasa.
Ada bezanya sepinggan nasi dan segunung kuasa. Survival kini milik rakyat, taktik politik pula milik pemimpin.
Kaki lobi yang mengharapkan laba politik kini aktif menjalankan peranan. Di peringkat bawahan, perang saraf ditiupkan supaya rakyat bersedia menanti krisis Mahathir-Anwar selepas PRK PD.
Cuma bezanya, dalam kalangan pelobi politik mereka nampak ghairah semacam. Macam syaitan memalu gendang dalam pesta iblis mabuk arak.
Sudah pasti ghairah pelobi politik ini ada sebabnya. Mereka bergendang sebab banyak laba menanti kalau krisis ini berlaku. Cuma, pelobi krisis ini tidak sedar, rakyat sedang kecewa. Pengundi makan hati.
Mewarwarkan krisis dan melaga-lagakan kem Mahathir-Anwar, membuatkan rakyat rasa menyampah kerana politiking nampaknya berterusan tanpa titik stabil selepas perubahan besar sudah dibuat pada 9 Mei lalu.
Bagi rakyat apa lagi pilihan yang ada. Mengubah kerajaan pada 9 Mei lalu bukan keputusan sehari. Rakyat mengikuti perkembangan selama bertahun-tahun sebelum nekad bangkit dan melakukan perubahan. Selepas berubah, rakyat mahu meneruskan kehidupan.
Apa rakyat mahu?
Rakyat mahu kerajaan PH bergerak ke hadapan. Stabilkan negara, betulkan ekonomi, kukuhkan perpaduan dan tingkatkan kualiti politik. Itu kan janji PH? Kenalah penuhi.
Rakyat bingung apa sebenarnya terjadi. Namun, bukan rahsia, rakyat dikhabarkan soal krisis Anwar-Mahathir. Jadi rakyat gusar. Ekonomi dan stabiliti negara belum di landasan tepat. Namun, politiking berterusan tidak berkesudahan.
Sekarang rakyat hanya mampu berdoa. Hanya di tikar sembahyang rakyat meminta: Ya Allah… ubahlah perangai pemimpin kami. – 23 September, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen