Kerjasama PAS-Umno hanya tambah ketegangan kaum, kata Syed Husin


Nabihah Hamid

Veteran reformis Syed Hussin Ali berkata PAS dan Umno perlu lebih matang dengan menjadi pembangkang yang berkesan dalam menegur kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 September, 2018.

KERJASAMA PAS dengan Umno hanya akan menambah ketegangan kaum dan tidak akan memberi banyak keuntungan, kata veteran reformasi Syed Husin Ali.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata sekiranya dua parti Melayu itu benar-benar bergabung, kedua-duanya hanya akan membangkitkan isu perkauman dan agama.

Mereka juga akan membangkitkan dakwaan bahawa DAP menguasai Pakatan Harapan (PH) dan mahu menjejaskan agama Islam, kata penulis buku Masa Depan Orang Melayu itu kepada The Malaysian Insight.

“Modal itu dicuba masa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tak jalan dan dia (Umno dan PAS) akan cuba lagi pada PRU akan datang. 

“Pada Melayu sekarang kalau PAS dan Umno bersatu, yang itu mereka boleh gunakan isu kaum dan agama itu mungkin dengan lebih berkesan lagi. 

“Tapi walaupun mereka dapat untung sedikit daripada segi (jumlah) kerusi ia boleh menyebabkan kegentingan dan perpecahan hubungan kaum. Mungkin pergaduhan boleh tercetus,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua parti itu seharusnya lebih matang dengan menjadi pembangkang yang berkesan dalam menegur kerajaan.

Umno dan PAS bekerjasama dalam tiga PRK di Selangor tetapi gagal menewaskan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2018.

Bekas pensyarah Universiti Malaya itu berkata beliau tidak melihat sebarang peningkatan dalam isu hubungan kaum selepas Malaysia dikemudi kerajaan baharu. 

Malah katanya, sikap perkauman semakin menebal dan ia dapat dilihat dengan kata-kata pengguna di laman maya. 

“Sekarang ini hubungan dan saling tak mempercayai semakin teruk, makin tegang. Kalau buruk lagi boleh mencetuskan konflik.

“Sebab sekarang ini tiada konflik seperti 1969, dan orang pun sudah ada banyak pengalaman pergaduhan, jadi mereka takut dan lebih banyak orang muda yang cakap tentang perpaduan. 

“Ia hanya akan tercetus kalau ada pihak api-apikan, cucuk dan timbulkan peristiwa,” katanya.

PAS menjalin kerjasama dengan Umno untuk memenangkan antara satu sama lain dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) di Selangor baru-baru ini. 

Terbaru, Muktar muktamar PAS pada 15 September lalu turut dihadiri pimpinan tertinggi Umno termasuk presidennya Zahid Hamidi, setiausaha agung Anuar Musa dan naib presiden Ismail Sabri. 

Pimpinan tertinggi PAS pula dijangka akan hadir Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan 29 September ini. – 23 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen