KERAJAAN persekutuan akan menetapkan garis panduan ketat berhubung perkahwinan bawah umur umat Islam ke dalam undang-undang sedia ada.
“Apa yang akan kita lakukan adalah wujudkan SOP sebagai sebahagian daripada undang-undang yang mana ia wajib untuk mahkamah patuhi,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika ditemui di Temerloh hari ini.
Beliau berkata ia berikutan daripada isu yang berlaku di Tumpat, Kelantan yang mana Mahkamah Syariah tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pejabatnya berhubung isu perkahwinan bawah umur umat Islam.
“Kita perkenalkan SOP dan meminta semua negeri untuk mengikutinya. Setakat ini, hanya Selangor dan Wilayah Persekutuan sahaja yang mengikutnya,” kata Mujahid.
“Namun di Tumpat, kita dapat tahu hakim tidak mengikut SOP dan meluluskan perkahwinan dengan sewenangnya (atas faktor kemiskinan).
Seorang anggota Rela berusia 44 tahun mengahwini remaja berusia 15 tahun pada Julai.
Perkahwinan berkenaan diluluskan Mahkamah Syariah Kelantan, dengan akad nikah dijalankan di Masjid Kg Laut, Tumpat.
Remaja berkenaan merupakan isteri kedua kepada lelaki yang memiliki dua anak itu.
Mujahid berkata, SOP itu jelas mengenai tidak memberi kebenaran sekiranya melibatkan kemiskinan.
“Memberi kebenaran atas alasan kemiskinan akan membawa kepada eksploitasi,” tambahnya.
Mujahid berkata kerajaan persekutuan bersedia untuk menaikkan had umur minimun perkahwinan lelaki dan wanita Islam kepada 18 tahun dan mmemulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.
Namun beliau menyatakan, kerajaan persekutuan hanya boleh menggalakkan negeri lain untuk mengikutnya.
“Saya boleh usulkan SOP dan pindaan umur minimum kepada Undang-Undang Keluarga Islam tetapi negeri lain juga perlu melakukan perkara sama kerana undang-undang Islam di bawah kuasa negeri,” kata Mujahid.
“Akhirnya, ada yang seperti di Kelantan akan mengatakan bahawa Islam membenarkan perkahwinan di bawah usia 18 tahun dan bagaimana kerajaan persekutuan menggubal undang-undang untuk menghentikannya.
“Jadi, bagaimana anda menjelaskan kepada orang-orang ini?” – 22 September, 2018
Komen