PEMILIHAN PKR di enam cawangan di Kedah mengalami masalah hari ini, sekali gus menyebabkan proses pengundian di kawasan terbabit terpaksa ditangguhkan.
Pengerusi jawatankuasa pusat parti Rashid Din berkata hal tersebut menyebabkan keputusan pemilihan PKR dari Kedah tidak akan diumumkan pada hari ini.
Kedah dan Pulau Pinang antara dua negeri awal yang mengadakan proses pemilihan PKR hari ini dengan melibatkan 105,000 anggota parti mengundi untuk memilih ketua bahagian, negeri dan pusat menggunakan sistem e-voting.
Rashid memaklumkan kepada The Malaysian Insight bahawa proses pemilihan berjalan lancar di 13 bahagian di Pulau Pinang walaupun bermula perlahan tetapi enam daripada 15 bahagian di Kedah terpaksa ditangguhkan.
Katanya, bahagian terlibat adalah Sungai Petani, Merbok, Jerai, Alor Setar, Kulim-Bandar Baharu dan Padang Serai.
“Terdapat gangguan di enam bahagian terbabit atas pelbagai sebab. Antaranya masalah teknikal, barisan yang terlalu panjang sehingga menyebabkan ahli parti marah.
“Insiden yang berlaku tidak serius. Tetapi cukup serius sehingga kami terpaksa menangguhkan sesi pemilihan,” katanya.

Rashid berkata tarikh baharu pemilihan akan ditetapkan kemudian untuk keenam-enam bahagian itu bagi memilih pemimpin mereka.
Difahamkan bahawa masalah yang berlaku di Sungai Petani dan Alor Setar disebabkan oleh masalah teknikal membabitkan sistem e-voting.
Proses itu diadakan di Dewan Beng Siew di Pekan Lama, Sungai Petani manakala di Alor Setar berlangsung Serbaguna Inspin di Jalan Sultanah.
Di Padang Serai, kekecohan kecil tercetus di tempat pengundian di Dewan Serbaguna Paya Besar di Lunas.
Ahli Dewan Undangan Negeri Luna dan Exco Kedah Azman Nasrudin berkata insiden itu berpunca akibat banyak sebab termasuk masalah teknikal dengan sistem e-voting.
“Sistem mengalami masalah dan menjadi punca kepada masalah lain. Kita akan mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan situasi yang berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight.
PKR membenarkan kesemua 800,000 ahlinya di seluruh negara untuk memilih ketua parti di setiap peringkat. Ini merupakan kali pertama parti itu menggunakan sistem e-voting.
Pemilihan PKR berakhir pada 7 Oktober dengan menyaksikan anggota bahagian di Wilayah Persekutuan paling akhir mengundi sebelum berlangsungnya kongres kebangsaan PKR pada pertengahan November. – 22 September, 2018.
Komen