PEGAWAI penyiasat (IO) yang memutuskan Najib Razak dikecualikan dari memakai baju berwarna oren dan digari ketika bekas perdana menteri itu dibawa ke mahkamah awal minggu ini, kata Timbalan Ketua Pesuhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
“Keputusan itu terpulang kepada IO yang putuskan sama ada tertuduh boleh memberi risiko atau tidak,” kata Azam menjawab pendengar radio dari Kota Kinabalu awal pagi ini.
“Ramai yang diarahkan memakai baju oren. Dan ramai juga yang dikecualikan. Ada yang digari, dan ada yang tidak digari. Ia terpulang kepada IO untuk putuskan.
“Biasanya, tertuduh akan digari dan diarah untuk memakai baju oren jika dia memberikan ancaman atau risiko. Dan kadang-kadang tertuduh memakai baju oren tetapi tidak digari, atau sebaliknya.
Azam berkata SPRM mengambil nasihat beberapa pihak mengenai isu ini yang turut disuarakan beberapa kumpulan sivil, Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti polis dan kastam harus dilibatkan sama, bukan hanya SPRM.”
Baju lokap SPRM berwarna oren itu menjadi isu apabila media sosial hangat mempertikaikan kenapa Najib tidak diarah memakai baju itu seperti ahli-ahli politik lain yang ditahan sebelum ini atas tuduhan rasuah.
Najib ketika ini sedang berdepan 32 tuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan “derma” RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Khamis lalu, beliau dituduh dengan empat tuduhan rasuah di bawah Akta SPRM dan 21 tuduhan lain berkaitan pengubahan wang haram.
Akmal Hafiz seorang pengguna Facebook bertanya kepada SPRM kenapa tertuduh tidak memakai “baju rasmi berwarna oren” mengikut kod baju yang dikhususkan kepada mereka yang direman atau ditahan.
Beliau menghantar sebuah gambar Najib yang memakai sut sementara Shafie Apdal memakai baju lokap oren SPRM
Shafie yang dipecat dari cabinet pentadbiran Najib pada 2015 kerana mempersoalkan beliau mengenai skandal 1MDB ditahan SPRM pada Oktober tahun lalu bagi siasatan tuduhan menggelapkan RM1.5 bilion dana projek pembangunan desa.
Ketika itu, Shafie menjadi pembangkang sebagai pemimpin parti Warisan Sabah yang kemudian menentang Umno di negeri itu–22 September, 2018.
Komen