Kami tak boleh buat apa-apa dengan persepsi buruk, kata timbalan pesuruhjaya SPRM 


Looi Sue-Chern

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata agensi anti rasuah itu tidak mengikut arahan daripada mana-mana pihak dalam menjalankan siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2018

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sering mendapat liputan media dalam berita menyiasat rasuah dan menahan suspek namun persepsi umum kekal buruk terhadap agensi, tiada apa yang kami boleh lakukan, kata timbalan pesuruhjayanya (operasi) Azam Baki. 

“Menurut rekod, tiada siapa yang terlepas daripada siasatan SPRM. Saya berani menyatakan SPRM tidak mendapat arahan daripada pihak lain, termasuk ahli politik. 

“Kami menjalankan tugas dan menyiasat rasuah seperti biasa, menurut undang-undang,” kata Azam dalam temubual pada program radio SPRM 360 awal hari ini  yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook MACC.fm. 

“Kami hanya boleh menyiasat. Apabila selesai, kami serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan untuk membuat pendakwaan.”

Azam turut ditanya tentang usaha SPRM dalam mengatasi persepsi negatif. Agensi anti rasuah itu berdepan dengan tuduhan menerima arahan daripada pihak tertentu dan menjadi berpihak dan memilih dalam menjalankan siasatan. 

Katanya, masa sudah berubah dan dengan perkembangan teknologi, maklumat boleh didapati oleh masyarakat. 

“Maklumat yang baik sudah tentu bagus untuk kita. Tetapi rakyat memilih untuk maklumat negatif dan sensasi. Media arus perdana perlu membantu kami memperbetulkan maklumat yang slaah di media sosial. 

“SPRM tidak boleh mengawal persepsi negatif terhadap kami. Namun apa yang penting bagi ami adalah menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang.” – 22 September, 2018

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen