Golongan miskin bandar paling terkesan kerana pembekuan peruntukan, kata Wong Chen


Melati A. Jalil

Wong Chen berkata pembekuan itu memberi kesan kepada warga komuniti di kawasan Kelana Jaya kerana kebanyakan mereka adalah miskin bandar.– Gambar The Malaysian Insight,, 7 Julai, 2017.

IBU tunggal Kamsiah Noor menggunakan RM400 yang diterima daripada program bantuan ahli Parlimen untuk membeli ubat asma.

Wang itu juga membantunya membeli barangan dapur setiap bulan.

“Saya menghidap asma, kadang kala memerlukan RM300 untuk membeli ubat setiap bulan. Saya juga ada alat nebuliser di rumah, yang saya beli dengan wang zakat RM250.

“Tapi setiap dua atau tiga hari, saya perlu membeli Ventolin Nebules…Saya beli satu atau dia kerana harganya mahal,” katanya.

“Saya terpaksa berhenti jual nasi lemak seminggu kerana tak cukup duit untuk beli bahan. Kalau ada saya boleh teruskan meniaga, sekurang-kurangnya dapat simpan RM20-30 setiap hari.

“Sekarang saya terpaksa minta beras dengan jiran sebelah sebab saya tiada duit,” katanya dan menambah salah seorang anaknya bekerja di kilang turut membantu keluarganya.

Ibu kepada lima orang anak, yang menjual nasi lemak di gerainya di flat Desa Mentari, berkata dia memohon sebagai salah seorang penerima Bulan Kebajikan kerana tiada pendapatan tetap.

Bulan kebajikan merupakan program kebajikan yang diilhamkan ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen untuk membantu golongan miskin bandar.

Bagaimanapun program itu dibekukan. Kamsiah berkata dia diberitahu pemimpin setempat mengenai perkara itu.

“Macam keluarga saya, kami amat perlukan bantuan kerana tiada sumber pendapatan lain. Kami sangat berhemah dalam berbelanja, tapi setiap bulan kena bayar RM550 untk sewa rumah, RM70 untuk pengangkutan anak ke sekolah. Semua ini tidak termasuk bil yang perlu dibayar dan ubat saya.”

Anitha Manidas, 49, yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat media di Petaling Jaya berkata, program itu banyak membantunya sebagai ibu tunggal.

“Saya tiada harta seperti rumah atau simpanan. Saya sahaja yang mencari nafkah untuk keluarga,” katanya.

Anitha yang baru berpindah dari Desa Mentari kerana suasana di kawasan itu tidak sihat untuk tumbesaran anaknya berkata RM400 yang diterima daripada program itu tahun lalu membantunya membayar tunggakan bil.

“Sekarang saya tinggal di flat lain di Seri Setia. Saya tak mampu duduk rumah teres. Sekarang pun saya bertungkus lumus untuk bayar RM750 sebulan.

“Bantuan itu banyak mengurangkan beban, kini saya tak tahu apa akan jadi. Saya berharap mereka teruskan program memandangkan Deepavali pun akan tiba.”

Kerajaan Selangor membekukan peruntukan Mesra Rakyat Wong pada Jun lepas selepas audit.

Wong merungut secara umum mengenai proses audit yang didakwa dijalankan tanpa proses yang betul dan enam kesimpulan yang dibuat adalah salah, tidak berasas dan remeh.

Katanya pembekuan itu menyebabkan program kebajikan itu dihapuskan.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menegur ahli Parlimen itu kerana memprotes. Katanya semua ahli Parlimen yang menerima peruntukan itu akan diaudit, tanpa mengira latar belakang politik.

Wong berkata program kebajikan itu wujud sejak dia mengambil alih pejabat itu dan kebanyakan daripada RM250,000 peruntukan kepada ahli Parlimen Selangor disalurkan ke rakyat di kawasannya kerana kebanyakan mereka adalah miskin bandar.

Menurut Wong, laporan audit tidak mengesyorkan pembekuan peruntukan perbelanjaan komunitinya. Sebaliknya ia mengesyorkan dua cadangan untuk pejabatnya menyediakan pelan perbelanjaan komuniti tahunan dan menyalurkan kebanyakannya kepada “projek kecil”.

Wong berkata, projek kecil seperti membaiki jalan dan longkang boleh dibuat majlis tempatan.

“Untuk projek kecil, anda kena bayar kontraktor – ada kontraktor yang bagus dan ada yang tidak. Bila kontraktor bagus, merka tetap akan kaut keuntungan 30%, kerana itu adalah harga pasaran

“Projek ini tidak relevan kepada ahli Parlimen. Mengapa nak berikan RM3,000 keada seseorang yang membuat keuntungan sedangkan saya boleh salurkan terus kepada orang miskin?

Wong berkata, tiada asas untuk menggantung perbelanjaan komunitinya yang menyebabkan mereka terkesan.

“Kami tidak percaya kepada sedekah tetapi kalau buat program sosial besar, seperti pemerkasaan wanita, ia menelan kos sebanyak RM10 juta. Ia memerlukan bajet yang besar dan saya perlu bayar dua orang lagi untuk memantau program.

“Tapi kalau berikan saya RM250,000 jalan mudah bagi saya dengan kaitangan terhad ini ialah dengan mengadakan Bulan Kebajikan. Ia bukan soal prinsip, ia tentang apa yang kita bileh buat dengan duit yang sedikit yang kita ada dan melakukannya dengan moral yang betul.

Katanya, bantuan itu diagihkan selepas pemohon ditemubual, satu proses yang menolak 700-800 pemohon.

“Sangat penting untuk tahu duit itu tidak pernah sampai ke pejabat saya. Tiada wang fizikal datang ke pejabat saya. Prosesnya begini, seorang individu memohon Bulan Kebajikan, kita temubual dan tandatangan borang serta dokumen berkaitan yang perlu dihantar ke Pejabat Tanah.”

Katanya Pejabat Tanah akan membuat kerja pentadbiran dan mengeluarkan cek di bawah nama penerima apabila semuanya diluluskan. Kemudian barulah pejabatnya akan merekod bantuan itu.

“Mereka tak beri saya duit dan saya tidak uruskan duit dan cek kerana ia dibayar kepada penerima. Itu sistemnya. Sistemnya tidak boleh ditipu. Tiada penyelewengan dan pembaziran,” katanya.

Wong berkata perkembangan terkini mengenai perkara itu hanya maklumbalas daripada penolong pengarah pegawai kewangan perbendaharaan negeri Mohd Hasry Nor Mohd, yang berkata perkara itu sedang diteliti.

“Apa yang saya perlu tahu jelas, dari mana datangnya kuasa pegawai ini? Kerana laporan audit tidak mengesyorkan apa-apa pembekuan terhadap peruntukan kami.

 “Saya sudah berjumpa Azmin di Parlimen. Kami berbincang dan saya kata kamu perlu lakukan sesuatu terhadap pegawai kamu. Dia kata akan melihat perkara itu.

“Saya hanya tidak mahu dia menghukum orang miskin,” katanya dan yakin masalah itu akan selesai dalam masa beberapa bulan.

The Malaysia Insight bagaimanapun gagal mendapatkan maklum balas daripada perbendaharaan Selangor. – 5 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen