Didik anak muda supaya jijik dengan rasuah, kata veteran PKR


Nabihah Hamid

Veteran PKR Syed Husin Ali berkata kes-kes terkini wajar didedahkan kepada anak muda bagi memastikan golongan itu faham dengan kesalahan tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 September, 2018.

ISU rasuah seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dimasukkan dalam silibus pendidikan sekolah dan universiti bagi mencegah gejala rasuah, kata veteran PKR Syed Husin Ali.

Bekas pensyarah Universiti Malaya (UM) itu berkata kes-kes terkini wajar didedahkan kepada anak muda bagi memastikan golongan itu faham dengan kesalahan tersebut. 

“Tak cukup untuk mengajar rukun-rukun (negara), asas fardhu ain dan kifayah. Kita kena terangkan apa sebab kita kena rasa benci dan jijik dengan rasuah. 

Kini pelajar peringkat sekolah menengah diajar dengan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi mendidik moral pelajar. 

Justeru, isu-isu rasuah terkini perlu diselitkan dalam silibus pengajaran tersebut untuk “Rasuah mendedahkan kepada pelajar bahawa ia menjahanamkan banyak masyarakat dan boleh meruntuhkan negara.

“Dalam bab rasuah itu, isu 1MDB perlu dimasukkan dalam satu aspek,” kata bekas profesor antropologi dan sosial Universiti Malaya itu lagi.

Murid sekolah perlu diterangkan mengapa kita perlu rasa benci dan jijik dengan rasuah, kata veteran PKR Syed Husin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

Beliau kesal kerana rasuah berleluasa secara besar-besaran seperti kes 1MDB yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Rasuah besar-besaran, dan salah perintah akibat berlakunya (skandal) 1MDB telah mengakibatkan berlakunya keburukan ekonomi, menjatuhkan ekonomi dan banyaknya hutang dalam negara. 

“Kalau misalnya menang Najib sekali lagi, saya tidak tahulah apa yang akan berlaku,” kata bekas timbalan presiden pertama PKR itu.

Bekas perdana menteri itu semalam diheret ke mahkamah sekali lagi dan didakwa dengan empat tuduhan rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Tuduhan tersebut berkaitan dengan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya pada 2013.

Pada Julai dan Ogos lalu, Najib sudahpun didakwa dengan tujuh tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Tuduhan terbabit berkaitan dengan dana RM42 juta yang didakwa diterima secara tidak sah dan mempunyai kaitan dengan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Najib kini bebas dengan jaminan RM3.5 juta untuk tuduhan 20 September dan jaminan RM1 juta untuk tuduhan pada Julai dan Ogos.– 22 September

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen