PAS berharap pelantikan pengerusi SPR yang baharu dibuat berdasarkan merit dan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap agensi pengendali pilihan raya itu.
Putrajaya hari ini mengumumkan peguam terkenal, Azhar Harun atau lebih dikenali sebagai Art Harun sebagai pengerusi SPR yang baharu menggantikan Mohd Hashim Abdullah yang meletak jawatan pada 1 Julai walaupun tempoh kontraknya sehingga Ogos 2020.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, sebagai pengerusi baharu, Art Harun seharusnya bertindak secara telus dan tidak berat sebelah.
“Diharapkan beliau akan bertindak secara telus, tidak memihak dan dapat menjalankan reformasi penuh bagi mengembalikan integriti serta tahap keyakinan kepada institusi utama pilihan raya negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga mengharapkan pelantikan itu juga akan memberi kuasa autonomi sepenuhnya kepada pengerusi SPR, agar tidak dipengaruhi, diganggu, atau disekat oleh mana-mana pihak.
“Pelantikan ini juga membolehkan SPR meyemak kembali kelemahan, ketidakadilan dan sisi sewenang-wenang yang berlaku dan wujud dalam amalan pilihan raya kita selama ini, termasuk isu persempadanan kawasan pilihan raya,” jelas beliau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpendapat, pelantikan itu telah melanggar manifesto Pakatan Harapan(PH).
Katanya, pelantikan itu harus melalui Parlimen seperti yang dijanjikan dalam janji mereka.
“Anda tidak boleh mulakan proses reform institusi dengan pelantikan yang melanggar janji reform yang anda mahu laksanakan.
“Kenapa pelantikan itu tidak boleh ditangguhkan sehingga ia mendapat kelulusan Parlimen? Tanpa pengerusi baharu, SPR sudah mula mengurus PRK Port Dickson,” kata beliau merujuk kepada pilihan raya kecil yang akan diadakan 13 Oktober depan.
Beliau berharap, Art Harun dapat menangguhkan pelantikan dirinya sehingga Parlimen kembali bersidang.
Dalam janji manifesto PH menyatakan ahli SPR mestilah melalui proses perakuan Parlimen, selain memberi kebebasan sepenuhnya kepada SPR daripada campur tangan perdana menteri dan ahli politik dengan meletakkannya dibawah pemantauan Parlimen.
Dalam pada itu, beliau percaya peguam terkenal itu layak memimpin institusi utama pilihan raya negara.
“Beliau adalah calon yang berkebolehan dan layak untuk jawatan itu. Saya yakin beliau akan memperkasakan sistem pilihan raya dan mengotakan janji untuk melaksanakan pilihan raya yang adil bagi semua parti politik di Malaysia,” kata beliau lagi.
Art Harun memiliki sarjana muda dalam undang-undang di Universiti Malaya dan Kings College, Universiti London.
Beliau merupakan anak jati Kedah, yang mempunyai pengalaman 31 tahun sebagai peguam dan memulakan kariernya di firma Allen & Gledhill pada tahun 1987, kemudian beliau meneruskan kerjaya sebagai peguam di beberapa firma undang-undang terkenal. – 21 September, 2018.
Komen