Pemuda Bersatu buat laporan polis kebocoran data Dr Mahathir


Looi Sue-Chern

Shameer Sulaiman (tengah) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat bersama ahli parti lain bagi membantah kebocoran butiran kad pengenalan Dr Mahathir yang dibuat Ahmad Zahid Hamidi dan ketua pengarah JPN. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2017.

PEMUDA Bersatu Pulau Pinang membuat laporan polis bagi menggesa siasatan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

Laporan itu dibuat berikutan satu rakaman video ucapan Zahid Hamidi pada mesyuarat perwakilan Umno Kelana Jaya di Bandar Sunway, yang menyentuh mengenai keturunan India pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Naib ketua pemudanya Shameer Sulaiman yang mewakili parti membuat laporan itu di Balai Polis Bayan Baru petang ini berkata, maklumat peribadi Dr Mahathir “disalahgunakan” di pentas politik.

Katanya, ia melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi dan tindakan harus diambil.

“Berdasarkan apa yang Zahid ucapkan, jelas dia mungkin berniat jahat memberitahu hadirin ketua pengarah JPN yang memberikan kepadanya butiran pendaftaran peribadi Dr Mahathir, yang menyatakan nama sebenarnya adalah Mahathir A/L Iskandar Kutty pada kad pengenalan birunya.

“Tindakan berniat jahat Zahid dan ketua pengarah JPN adalah kesalahan jenayah. Mereka menyalahgunakan data peribadi orang lain untuk agenda politik.

“Saya menggesa pihak polis menyiasat dengan telus dan adil bagi mengelakkan penjawat awam dan penjawat awam kanan membocorkan maklumat peribadi orang lain,” katanya.

Pada 30 Julai lalu, Zahid yang juga menteri dalam negeri, memberitahu ahli parti pada mesyuarat perwakilan Umno Kelana Jaya, ayah Dr Mahathir berketurunan India.

“Dr Mahathir lupa, dia adalah anak kepada Iskandar Kutty. Pada kad pengenalan birunya, namanya Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

“Jabatan Pendaftaran Negara berikan pada saya. Patutlah dia cakap kita mudah lupa, dia anak Iskandar Kutty,” katanya.

Dr Mahathir yang kini mengetuai pembangkang sebagai pengerusi Pakatan Harapan, membalas kenyataan itu dan mengatakan Zahid bohong. Menurut laporan Iskandar adalah datuknya.

Hari ini laporan polis dibuat terhadap Zahid selepas polis berkata akan memanggil Dr Mahathir untuk siasatan berhubung dakwaan merancang untuk menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak.

Dr Mahathir didakwa mencadangkan Najib digantikan dengan Zahid, yang mendakwa memiliki rakaman perbualan pada 2015 tidak lama selepas Zahid menjadi timbalan perdana menteri.  – 5 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen