Polis mahu suruhanjaya bebas siasat salah laku lindungi hak mereka


Alfian Z.M. Tahir

WALAUPUN menentang penubuhannya lebih sedekad, polis hari ini mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun menegaskan yang hak anggota polis yang jadi tumpuan siasatan suruhanjaya perlu dilindungi.

“Kami mengalu-alukan keputusan itu tanpa bantahan tetapi pada masa sama kita perlu pastikan hak anggota polis dilindungi,” katanya hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penubuhan IPCMC yang akan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang diwujudkan pentabiran Barisan Nasional sebelum ini.

“IPCMC akan menjadi badan bebas untuk meneliti aduan kepada polis dengan lebih menyeluruh,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kali keempat Kabinet Khas mengenai Anti-Rasuah bersama Pusat Tadbir Urus Negara, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) di Putrajaya.

Kronologi desakan penubuhan badan bebas untuk menyiasat salah laku anggota polis bermula pada 2004 apabila sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan Yang di-Pertuan Agong untuk meneliti kritikan kepada polis kerana peningkatan jenayah dan kematian dalam tahanan.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim mengalu-alukan penubuhan IPCMC tetapi mahu hak anggota polis yang jadi tumpuan siasatan suruhanjaya dilindungi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 September, 2018.

Mandat RCI itu adalah untuk mengkaji dan mencadangkan langkah bagi menambah baik kecekapan polis seterusnya membuat pasukan keselamatan itu lebih dihormati dan peranannya sebagai agensi penguatkuasa diperkukuh.

Pada November 2005, RCI mengeluarkan 125 cadangan, salah satunya mewujudkan IPCMC untuk menyiasat salah laku anggota polis dan mengambil tindakan displin bersesuaian kepada pegawai terlibat.

Bagaimanapun, cadangan ini dibantah polis ketika itu dan BN mewujudkan EAIC.

Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wakil rakyat dan pergerakan masyarakat sivil kembali mendesak penubuhan IPCMC, berkata EAIC tidak berkesan kerana kes kematian dalam tahanan terus berlaku dan kes anggota polis terlibat dalam jenayah masih berterusan. – 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen