Kami ada sebab serbu rumah ibu Najib, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata serbuan ke atas rumah ibu Najib, Rahah Mohamad Noah berlaku selepas menerima maklumat siasatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 September, 2018.

POLIS mempunyai sebab untuk melakukan pencarian di rumah ibu Najib Razak, Rahah Mohamad Noah semalam dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim.

Katanya, Rahah memberi kerjasama baik dan polis meminta kebenaran sebelum serbuan dilakukan.

“Kami pergi ke rumah tersebut selepas menerima maklumat mencukupi daripada penyiasat kami.

“Kami merasakan rumah itu perlu diperiksa,” katanya kepada media selepas sebuah majlis hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan yang polis tidak profesional dengan melakukan serbuan itu ketika kebanyakan ahli keluarga berada di mahkamah untuk bersama Najib yang didakwa dengan 25 pertuduhan baharu.

“Kami tak rempuh masuk rumahnya. Kami profesional dan kami menasihati Tun Rahah dan kami menerima maklum balas yang sangat baik,” tambahnya.

Noor Rashid turut mendedahkan yang tiada dokumen atau barangan yang dirampas dalam serbuan itu.

Semalam anak Najib, Norashman meluahkan kemarahan kepada polis kerana menyerbu rumah neneknya.

“Tolong jangan kacau nenek saya!! Serbu rumahnya ketika kami berada di mahkamah?” kata Norashman menerusi catatan di Instagram.

Anak perempuan Najib, Nooryana turut meluahkan kemarahan di Instagram kerana serbuan itu.

“Kami tertanya-tanya mengapa tidak ada gambar serbuan. Sebabnya? Kerana tak jumpa apa-apa dan polis balik dengan tangan kosong.

“Perlukah untuk wanita 87 tahun melalui pengalaman pahit ini,” tanya.

Rahah tinggal di Jalan Eaton, Kuala Lumpur. Serbuan itu dilakukan pasukan 14 anggota polis.

Ia berlaku pada masa sama Najib berada di mahkamah sesyen untuk berdepan pertuduhan baru korupsi dan pengubahan wang haram. – 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen