POLIS menyerbu 13 kedai arak di Selangor dan menahan 10 orang susulan kes keracunan methanol yang meragut 28 nyawa.
Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata serbuan dibuat di Shah Alam, Sungai Buloh, Gombak dan Kajang.
“Ketika serbuan, polis merampas 1,021 botol arak dan 1,695 tin arak pelbagai jenama di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, lima orang ditahan di Shah Alam, tiga di Gombak, seorang masing-masing di Sungai Buloh dan Kajang.
Mereka yang ditahan adalah tiga rakyat Malaysia dan tujuh warga asing di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1965 kerana memiliki barangan seludup.
Sebelum ini, Selangor mengumumkan dua lagi maut selepas keracunan methanol membawa jumlah kematian seluruh negara kepada 28 orang.
22 orang maut di Selangor, empat orang di Kuala Lumpur dan dua lagi mangsa maut di Ipoh.
22 mangsa lagi masih dirawat di hospital sekitar Lembah Klang. – 21 September, 2018.
Komen