LEBIH 20 calon untuk tujuh kerusi perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU17) menarik diri sebelum pemilihan hari ini sebagai menyatakan sokongan mereka terhadap pemimpin parti.
Perkara itu diumumkan ahli Parlimen yang juga ketua Umno Baling Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyatakan bagaimana dia memanggil dan meminta setiap calon menarik diri bagi mengelakkan pertembungan dalam setiap Bahagian.
“Sebagai menghormati pucuk pimpinan dan menunjukkan perpaduan di Baling, ramai calon untuk G7 menarik pencalonan mereka. Tiada pemilihan untuk perwakilan PAU17,” kata Azeez.
Azeez berkata, calon terbabit menarik diri kerana kesetiaan dan keikhlasan mereka kepadanya, sama seperti kesetiaannya terhadap kepimpinan presiden parti Najib Razak dan naib presiden Ahmad Zahid Hamidi.
Menggunakan platform yang sama, Azeez berkata dia juga setia kepada Dr Mahathir Mohamad walaupun dengan tindakannya ketika kerajaan di bawah pentadbirannya.
“Pada 1987 ketika beliau bermusuh dengan Musa Hitam dan melantik Ghafar Baba sebagai timbalan perdana menteri, kami menyokongnya.
“Pada 1988 ketika bermusuh dengan Tengku Razleigh Hamzah, Umno diisytihar tidak sah. Siapa presiden dan PM ketika itu?
“Berikutan masalahnya dengan dua individu itu, pada 1990 kita kalah teruk dengan Semangat 46 dan Umno hilang semua kerusi di Kelantan,” katanya yang juga pengerusi Tabung Haji.
Beliau berkata Dr Mahathir kemudiannya membawa Anwar Ibrahim masuk pada 1990 dan menyebabkan Ghafar tersingkir.
“Apabila dia memecat Anwar pada 1998 dan PKR ditubuhkan menyebabkan Terengganu jatuh kepada PAS.
“Kami terus menyokongnya sehingga 2003 apabila dia melepaskan jawatan kepada Abdullah Ahmad Badawi yang mencapai kemenangan paling besar pada pilihan raya umum 2004.”
Azeez berkata Dr Mahathir kemudiannya menyerang Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin dan Barisan Nasional hilang lima negeri pada PRU-12.
Ketua Umno Baling itu berkata Dr Mahathir meninggalkan parti apabila dia menentang Abdullah tetapi masuk Umno semula dengan menghantar borang permohonan ke rumah Najib selepas Abdullah meletakkan jawatan.
“Susulan itu, Mukhriz yang tidak pernah menang mana-mana pilihan raya penting, mahu menjadi naib presiden dan kami sokongnya kerana dia anak Dr Mahathir.
“Tidak lagi, tidak mungkin. Langkah mayat kami dulu kalau dia mahu ancam Umno.
“Dia katakan kepada kami yang DAP dan Lim Kit Siang adalah musuh dan sekiranya DAP memerintah tidak akan ada subsidi untuk orang miskin. Tapi di bawah Umno mamak tonkang berjaya jadi ahli Parlimen,” kata Azeez merujuk kepada dirinya.
Azeez yang juga pengerusi Tabung Haji turut berterima kasih kepada Najib kerana menaja jemaah haji di bawah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Tidak ada perdana menteri yang terfikir perkara ini. Tapi di bawah Najib, 5,711 orang yang tidak pernah mimpi tunaikan haji berjaya menunaikannya.
“Adakah itu tanda kerajaan akan bangkrap?” kata Azeez.
Dia turut meminta ahli Umno di Baling memberi sokongan terhadap Najib kerana adalah tanggungjawab mereka untuk setia kepada parti dan pimpinan sebagaimana mereka lakukan ketika di bawah Dr Mahathir. – 5 Ogos, 2017.
Komen