Malaysia tak boleh terima perkahwinan sejenis, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

MALAYSIA tidak akan mengiktiraf perkahwinan sejenis walaupun ia dianggap sebagai hak asasi manusia di negara-negara barat, kata Perdana Menteri Dr Mahathir.

Beliau berkata kerajaan bersetuju dengan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam banyak perkara mengenai kebajikan dan hak keselamatan terhadap jantina minoriti, beliau nerkata Malaysia masih mempunyai sistem nilai yang berlainan dengan apa yang wujud di barat.

“Ketika kita setuju dengan Suhakam (dalam banyak perkara), sistem nilai kita tidak sama dengan apa yang ada di barat.

“Mereka lebih bebas namun ada beberapa perkara yang tidak boleh diterima di Malaysia walaupun ia diterima sebagai hak asasi manusia di negara-negara barat,” kata perdana menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet Khas mengenai Anti-Rasuah di Putrajaya.

“Kita tidak boleh terima LGBT atau perkahwinan sejenis. Konsep perkahwinan kita akan kekal sama dengan pasangan (lelaki dan perempuan) dengan anak-anak mereka sendiri atau anak angkat.

“Namun dua lelaki atau dua perempuan tidak dianggap sebagai satu keluarga,” kata Dr Mahathir lagi.

Baru-baru ini Suhakam mengadakan pertemuan dengan kerajaan untuk meminta agar Akta Suhakam dipinda dan kembali mengiktirad tujuh konvensyen berkenaan hak asasi manusia, termasuklah Perjanjian Antarabangsa mengenai Sivil dan Hak-hak Politik dan Konvensyen Antarabangsa berkenaan Ekonomi, Sosial dan Hak-hak budaya.

Suhakam sebelum ini mengkritik sebatan syariah dua wanita yang cuba melakukan perbuatan seks di Terengganu.

Pada Julai lalu, badan hak asasi manusia itu turut  mengecam kegagalan Kementerian Belia dan Sukan mempertahankan Numan Afifi Saadan, seorang aktivis LGBT yang juga pegawai media menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen