Kami tidak paksa ahli Umno sertai Bersatu, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan menggunakan pihak penguatkuasa undang-undang untuk memaksa ahli Umno keluar parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 September, 2018.

PUTRAJAYA tidak menggunakan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memaksa ahli Parlimen pembangkang keluar daripada parti mereka dan menyertai Bersatu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengulas laporan yang polis kini mensasarkan beberapa bahagian Umno yang didakwa menerima wang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana menteri ditanya pada sidang akhbar hari ini sama ada kerajaan menggunakan agensi penguatkuasa undang-undang untuk memaksa ahli parlimen Umno menyertai Bersatu.

“Nampaknya ada orang yang melakukan jenayah. Jika ahli Umno tidak melakukan jenayah, mereka tidak disiasat,” kata Dr Mahathir hari ini.

“Polis tahu semuanya dan mereka menyiasat ramai orang.”

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa membayangkan semalam yang ahli Parlimen Jeli dan bekas Ahli Majlis Tertinggi parti itu Mustapa Mohamed meletak jawatan pada Selasa kerana beliau sedang disiasat.

Mustapa mengakui kemudian beliau bersama beberapa pemimpin Umno Kelantan lain dipanggil untuk disoal oleh polis berhubung dana yang mereka terima.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu berkata mereka yang sedang disiasat mempunyai banyak tuduhan.

“Kami dalam parti sudah menuduh mereka tetapi polis kini mempunyai maklumat dan mereka harus bertindak.

“Saya tidak peduli (siapa mereka). Sekiranya mereka melakukan jenayah, pihak polis akan melakukan kerja mereka tanpa sebarang arahan daripada pihak lain,” kata Dr Mahathir.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa mendakwa keputusan ahli Parlimen pembangkang keluar parti kerana disiasat oleh pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2018.

Apabila ditanya lagi sama ada Bersatu memancing ahli Parlimen Umno, Dr Mahathir berkata:

“Mereka datang berjumpa saya kerana saya jumpa semua orang. Selepas mereka datang dan berjumpa saya, mereka pergi dan berjumpa PAS.

“Kita bebas. Tidak seperti sebelum ini apabila anda berjumpa beberapa orang, pihak cukai akan menyusul selepas itu. Kita tidak menghantar pegawai cukai memburu orang tetapi jika terdapat kes terhadap mereka, polis akan bertindak secara normal.”

Dr Mahathir merujuk kepada masa Pakatan Harapan menjadi pembangkang. Pentadbiran Najib Razak ketika itu didakwa menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memburu mereka yang hampir dengan PH.

Beliau juga menafikan bekas naib presiden Umno dan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein meminta untuk menyertai Bersatu.

Dilaporkan sebelum ini Hishammuddin bertemu Dr Mahathir di Putrajaya pada hujung minggu lalu. Terdapat spekulasi yang beliau mahu menyertai Bersatu.

Tetapi Dr Mahathir menafikan perkara ini.

“Beliau datang berjumpa dengan saya. Beliau tidak mengatakan apa-apa tentang menyertai. Beliau mempunyai ideanya sendiri. Lebih baik anda bertanya kepadanya,“tambahnya. – 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen