ANWAR Ibrahim berkata beliau memilih untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson kerana ia selaras dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) yang dibuat pada Januari.
Bakal presiden PKR itu berkata, semua parti PH mencapai kesepakatan, beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang permohonan pengampunan penuh untuknya akan dikemukakan, dan beliau akan bertanding kerusi Parlimen secepat mungkin, sekiranya pakatan menang pilihan raya.
“Ini adalah selaras dengan keputusan PH pada Januari untuk mendapatkan pengampunan saya dan membantu mengembalikan saya ke Parlimen,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR hari ini.
PRK Port Dickson, yang ditetapkan pada 13 Oktober, dikecam sebagai tindakan terburu-buru, yang diadakan terlalu awal selepas PRU14 ketika kerajaan baru masih dalam usaha mengukuhkan tapaknya.
Ia juga berlaku di tengah-tengah kesibukan pemilihan PKR, yang akan bermula esok.
Anwar dijangka menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dalam tempoh dua tahun.
Beliau menegaskan kehadirannya di Parlimen bukanlah untuk mengancam Dr Mahathir, tetapi untuk membantu dalam perkara berkaitan Dewan Rakyat.
“Saya memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada Dr Mahathir. Saya ingin memperbaharui Parlimen secara keseluruhan.” – 21 September, 2018.
Komen