Pakatan patut terima jika orang Umno perjuang reformasi, kata Rais Yatim


Zaim Ibrahim

PARTI komponen Pakatan Harapan (PH) wajar mempertimbangkan untuk menerima bekas pimpinan Umno yang mampu meneruskan agenda reformasi, kata bekas menteri Rais Yatim.

Anggota Bersatu itu berkata beliau juga mengalu-alukan bekas pemimpin Umno untuk menyertai partinya.

“Tentu sekali (menerima bekas ahli Umno yang keluar parti). Kita perlu menerima buah-buah yang tidak menelan (tidak ketinggalan), yang boleh mencerna demokrasi dan keadilan.

“Dan mereka bukan terdiri daripada yang mementingkan diri,” kata beliau, merujuk kepada para pemimpin Umno yang semakin ramai parti sejak tewas pilihan raya umum 9 Mei.

Terbaru, dua lagi ahli Parlimen parti itu yang juga bekas menteri Kabinet, Mustapa Mohamed dan Anifah Aman keluar parti.

Mengulas perkara itu, Rais berkata tindakan berkenaan perlu dihormati kerana ia adalah sebahagian proses kematangan politik.

“Beliau buat pilihan untuk isi perjuangan beliau, (kita) harus hormati. Jangan buat telahan yang merendahkan reputasi mereka. 

Belum tahu lagi, orang-orang yang diatas (pimpinan tertinggi) Umno itu pun (mungkin) keluar parti,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, Rais berkata tarikan ahli Umno kepada Bersatu juga menunjukkan masyarakat semakin menyukai parti kerajaan itu dan ia tidah sepatutnya dihalang.

“Kalau orang suka Bersatu, biarkan. Ini bermakna Bersatu lebih wangi dan menarik (perhatian) mereka,” tambah bekas penasihat sosiobudaya kerajaan itu.

Rais Yatim (kiri) menyerahkan buku kepada Shariffah Fawziah Syed Eusoff Assagoff semasa pelancaran buku Kassim Ahmad, 'Autobigrafi Seorang Pemberontak', di Universiti Malaya hari ini. –  Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 September, 2018.

Cakap-cakap mengenai rundingan mengenai pemimpin Umno menyertai Bersatu itu semakin kuat diperkatakan sejak Mustapa dan Anifah keluar parti minggu ini.

Keputusan memeranjatkan itu bagaimanapun disambut dengan celaan oleh Umno yang menganggap tindakan Mustapa dan Anifah keluar parti sebagai tindakan langkah yang tidak wajar.

“Meletakkan alasan kelemahan parti kerana agenda peribadi sesuatu yang tidak wajar dilakukan,” kata presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa semalam turut mengesahkan wujudnya tawar-menawar supaya anggota Parlimen parti itu menyertai parti lain.

Beliau juga berkata, ada juga pemimpin parti bertindak keluar Umno kerana mempunyai kepentingan perniagaan dalam kerajaan.

Setakat ini, lima orang ahli Parlimen dan 13 wakil rakyat Barisan Nasional sudahpun keluar parti sejak parti itu tewas pilihan raya umum 9 Mei. – 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen