PARTI Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan ia akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson di Negeri Sembilan.
Presiden parti, Mohd Hashim Saaludin berkata PRM memutuskan untuk mencabar PKR bagi kerusi itu, walaupun calonnya akan berdepan Anwar Ibrahim, bakal presiden PKR dan perdana menteri.
“Rancangannya adalah untuk mencabar PKR. Setakat ini kami mempunyai tiga calon untuk disenarai pendek. Kami akan bertemu selepas ini untuk memutuskan siapa akan dihantar ke Port Dickson.
“Kami akan mengumumkan calon yang dipilih pada masa ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di Prai, Pulau Pinang, hari ini.
Hashim adalah seorang daripada calon yang disenarai pendek. Parti itu enggan mendedahkan dua nama lain.
Beliau berkata isu utama bukan sama ada PRM boleh memenangi kerusi itu, tetapi mengenai penggunaan pilihan raya itu sebagai platform bagi membangkitkan isu-isu yang mempengaruhi rakyat seperti harga barangan, kebajikan dan kestabilan ekonomi.
Beliau berkata PRM sebagai “parti pembangkang sebenar yang mempertahankan hak rakyat” tidak takut kepadakekalahan.
“Peranan kami adalah untuk memberi semak dan imbang. Sejak Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan persekutuan, terdapat ketidakstabilan ekonomi dan politik.
“Para menteri mengumumkan dasar tanpa melakukan kajian wajar dan mempertimbangkan pandangan rakyat. Hasilnya, banyak membuat pusing ‘U’,” katanya.
Hashim memetik pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran yang warga asing tidak dibenarkan bekerja sebagai tukang masak di Malaysia, dan ketidakpastian projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura sebagai contoh.
“Kami mahu menyertai PRK ini untuk membangkitkan isu dan mengingatkan kerajaan PH agar menunaikan janji manifestonya.” – 21 September, 2018.
Komen