PIHAK berkuasa terdesak untuk membuat pendakwaan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mereka adalah lemah, kata peguam Najib Razak Shafee Abdullah.
Peguam itu berkata pendakwaan itu mendedahkan kelemahannya apabila ia meminta hakim menghalang Najib daripada bercakap secara terbuka mengenai kes itu.
“Pihak berkuasa terdesak utuk membuat pendakwaan. Perintah untuk menghalang Najib daripada bercakap mengenai kes itu menunjukkan ia satu lagi cubaan terdesak dalam pendakwaan itu.
“Kes itu tidak dibuat pada asas yang kukuh dan mereka cuba menghalang Datuk Seri daripada bercakap secara terbuka (membuktikannya),” kata Shafee kepada pemberita selepas bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan 25 pertuduhan melibatkan skandal 1MDB.
Di tengah kes itu adalah wang AS$651 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke akaun peribadi Najib Razak yang mana beliau mendakwa ia adalah “derma” daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Shafee memberitahu pemberita, Najib mempunyai bukti kukuh beliau telah mengembalikan 90% daripada wang derma berkenaan kepada pemiliknya.
Beliau menyelar pendakwaan itu dan berkata pasukan yang diketuai bekas hakim Gopal Sri Ram, tidak berfikir sebelum meneruskan kes itu.
“Subjek utama adalah AS$651 juta, pasukan pendakwaan tidak menyedari bahawa wang berkenaan dipindahkan kembali ke akaun asalnya.
“Pendakwaan ini hanya untuk memenuhi manifesto pilihan raya dan tidak difikirkan secukupnya oleh pasukan berkenaan. Sebaik sahaja selepas pilihan raya, Najib mengembalikan semula 90% daripada wang berkenaan. Ini bukan kelakuan seorang pencuri.
“Jadi dakwaan Najib wang itu adalah derma ada sokongan,” kata Shafee.
Najib memberitahu media, beliau bukan seorang pencuri selepas memohon ikat jamin.
“Isu RM2.6 bilion hanya untuk mencemarkan nama saya.
“Mahkamah kini memberi saya peluang untuk membersihkan nama saya,” katanya kepada pemberita di lobi kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini. – 20 September, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan