POLIS membenarkan sekumpulan 50 orang penyokong Najib Razak untuk berhimpun di dalam perkarangan mahkamah petang ini selepas kumpulan itu memberi jaminan tidak menimbulkan kekecohan.
Kumpulan berkenaan pada awalnya disuraikan dan diminta keluar dari kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada kira-kira jam 2.40 petang, selepas Najib dibawa ke mahkamah.
Antaranya individu yang disuraikan adalah bekas menteri Kabinet Najib, Ismail Sabri Yaakob yang dilihat mematuhi arahan sebaik diminta berbuat demikian oleh pasukan polis bertugas.
Bagaimanapun, polis dilihat membenarkan Ismail Sabri memasuki kawasan mahkamah semula dan menutup pintu pagar mahkamah.
Kumpulan penyokong yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu seterusnya bertindak melaungkan slogan “Bangkit rakyat”.
Seterusnya, selepas rundingan kira-kira 10 minit, polis membenarkan kesemuanya masuk ke kawasn perkarangan mahkamah dengan syarat tidak menimbulkan kekecohan.
Antara yang hadir dalam perhimpunan itu adalah ahli Parlimen Pasir Salah Tajuddin Abdul Rahman.

Najib dibawa masuk ke mahkamah petang ini bagi menghadapi 21 pertuduhan berhubung penggelapan dana berjumlah RM2.6 bilion dari syarikat pelaburan negara 1MDB. – 20 September, 2018.
Komen